Seorang bakal pengantin di sini terpaksa menanggung kerugian sehingga RM5,000 selepas menjadi mangsa sebuah syarikat katering terkenal yang menawarkan pakej perkahwinan tidak wujud.

Mangsa wanita berusia 23 tahun hanya menyedari dirinya ditipu oleh syarikat berkenaan selepas melihat viral di media sosial mengenai syarikat berkenaan yang menipu pelanggan dengan menawarkan pakej perkahwinan yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada Julai 2017, mangsa yang bekerja sebagai kerani itu tertarik dengan iklan perkhidmatan katering yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan untuk majlis perkahwinannya pada Mac tahun depan.

“Mangsa berhubung dengan pekerja syarikat berkenaan untuk menempah pakej yang bernilai RM11,800. Namun dia diminta untuk membayar deposit sebanyak RM5,000.

“Pada Mac lalu, mangsa pergi ke pejabat syarikat berkenaan di sini bagi urusan pembayaran deposit di mana dia membuat bayaran tunai sebanyak RM5,000 kepada kakitangan syarikat berkenaan dan diberikan resit pembayaran," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, baru-baru ini mangsa menyedari syarikat berkenaan menipu pelanggannya selepas melihat viral di media sosial sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan pakej perkahwinan yang tidak wujud sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.