Pemansuhan program inisiatif Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) atas alasan kononnya ia tidak mendapat sambutan merupakan alasan yang dangkal dan tidak boleh diterima, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya, bekas ketua Pemuda UMNO itu mengesyorkan supaya kerajaan tidak memansuhkan sepenuhnya pemberian ADAM50 ini, tetapi mengehadkan pemberiannya kepada bayi dari keluarga M40 dan B40.

Katanya, program ADAM50 tidak dipromosi atau dihebahkan seperti yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

"Pakatan Harapan kini telah menguasai media. Jadi ruang yang ada ini sepatutnya digunakan secara meluas untuk membuat promosi.

"Program ADAM50 ini juga adalah aspirasi di bawah TN50 sebagai langkah memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan membuat simpanan.

"Peruntukan RM100 juta ini adalah terlalu kecil iaitu hanya 0.03% berbanding keseluruhan jumlah anggaran perbelanjaan kerajaan pada tahun 2019," kata Khairy menerusi kenyataan di Facebooknya pada Jumaat.

Malah, kata Khairy jumlahnya juga 50 peratus lebih rendah berbanding kutipan Tabung Harapan yang ketika ini telah hampir mencecah RM200 juta.

"Tempoh lima tahun sehingga 2022 adalah tempoh percubaan," katanya.

BACA: ADAM50 dihentikan akhir tahun - Zeti

Terdahulu, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, keputusan menghentikan skim tersebut dibuat berikutan kurang mendapat sambutan.

Menurut Zeti, sejak dilancarkan 1 Januari lalu, hanya 25 peratus bayi yang dilahirkan sepanjang tahun ini mendaftar dengan program ini.