Semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan, akan dibuka bagi Solat Jumaat dan solat berjemaah mulai 12 Jun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, beliau berkata, peluasan kapasiti masjid untuk jemaah bagaimanapun hanya dibenarkan sebanyak 1/3 sahaja daripada jumlah had kapasiti dewan solat utama.

Zulkifli berkata, perkara itu ditetapkan melalui Garis Panduan Perluasan Kapasiti Solat Jumaat
dan Solat Berjemaah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Wilayah Persekutuan, dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 3,000 orang jemaah pada satu-satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 1,000 orang buat masa ini.

“Jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau boleh melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah bagi membantu kawalan sebelum dan selepas solat,” katanya lagi.

Zulkifli berkata, sistem penggiliran atau apa cara yang sesuai pada hemat jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat dan surau boleh dilaksanakan bagi memberi peluang kepada anak kariah lain untuk hadir.

Kapasiti ini, katanya lagi, akan ditambah secara berperingkat dengan makluman dari semasa ke semasa atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

Selain itu, beliau berkata, umat Islam wanita juga kini boleh kembali menunaikan solat jemaah di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

“Saya maklum jauh di sudut hati wanita-wanita di luar sana, teringin untuk kembali beribadah di rumah Allah SWT. Berita gembira buat semua Muslimah di Wilayah Persekutuan, anda juga dibenarkan untuk ke masjid, surau Jumaat dan surau dengan syarat bersama-sama dengan mahram anda,” katanya lagi.


Bagi golongan warga emas, Zulkifli berkata, tidak ada had umur yang ditetapkan untuk hadir sebagai jemaah dengan syarat mereka sihat.

“Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, jemaah yang bergejala dan menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir buat masa ini.

“Masjid turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir, pemandu dan rider perkhidmatan e-hailing,” katanya lagi.