Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berpuas hati dengan kandungan Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diperlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 24 Feb 2016, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu pada Selasa.

Bekas Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa berkata perkara itu dimaklumkan oleh Najib ketika beliau (Ali) dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri pada 22 Feb 2016.

Ali yang menyandang jawatan itu sehingga Ogos 2018, berkata turut hadir dalam pertemuan itu ialah bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang.

“(Dalam pertemuan itu) Najib menyatakan beliau tidak mahu dua penyata kewangan berlainan bagi 1MDB dikemukakan dalam Laporan Audit 1MDB. Pada masa itu, saya tidak tahu apa masalahnya dengan penyata kewangan tahunan 1MDB yang dikemukakan dalam Laporan Audit 1MDB.

“Saya ingin menjelaskan di sini, sungguhpun saya adalah anggota lembaga penasihat 1MDB, saya tidak pernah dipanggil untuk menghadiri mesyuarat sebagai seorang daripada anggota lembaga penasihat 1MDB. Saya tidak pernah menandatangani sebarang dokumen atas kedudukan saya sebagai anggota lembaga penasihat 1MDB.

“Saya tidak pernah terbabit dalam mana-mana proses audit 1MDB oleh Jabatan Audit Negara (NAD). Dalam pertemuan itu, saya malah tidak pernah membaca Laporan Audit 1MDB yang Najib maksudkan,” kata saksi pendakwaan keempat itu semasa pemeriksaan utama oleh Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Ali, yang telah bersara, berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan Najib dan bekas Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Ditanya oleh Sri Ram apakah perilaku Najib semasa pertemuan itu, saksi itu berkata beliau dapati Najib kelihatan agak susah hati.

Ali berkata selepas perbincangan itu, beliau diarahkan oleh Najib untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan antara NAD dan Arul Kanda, yang mewakili 1MDB berhubung sebarang rasa tidak puas hati dengan Laporan Audit 1MDB oleh NAD.

“Saya turut diarahkan supaya tidak mencetak Laporan Audit 1MDB sehinggalah saya mendapat kelulusan beliau (Najib). Pada masa itu, saya tidak mempunyai sebarang maklumat tentang status Laporan Audit 1MDB; sama ada ia telah dimuktamadkan atau tidak,” katanya.

Ali juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa pada 23 Feb 2016, beliau meminta Ambrin dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Mohd Salleh untuk bertemu beliau di pejabatnya dan beliau kemudian memberitahu mereka bahawa beliau sedang mengatur satu mesyuarat pada 24 Feb 2016, dan mengundang wakil daripada NAD, 1MDB, Perbendaharan dan Jabatan Peguam Negara.

Saksi itu berkata dalam pertemuan dengan Ambrin dan Shukry, bekas ketua setiausaha sulit Najib memberitahu mereka bahawa Laporan Audit 1MDB telah menjadi krisis yang mesti dikendalikan dengan segera.

Najib berdepan tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya manakala Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib berhubung kesalahan sama.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Najib dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM dan jika disabitkan kesalahan beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000.

Arul Kanda juga boleh dikenakan hukuman yang sama jika didapati bersalah oleh mahkamah.