Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah (S.S.A.P.) yang membawa gelaran Datuk Seri Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Selain itu, turut menerima darjah kebesaran adalah pengarah, pelakon dan pelawak terkenal tanah air, Afdlin Shauki yang menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) yang membawa gelaran Datuk.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat mencemar duli mengurniakan darjah dan pingat kebesaran itu kepada 155 penerima keseluruhannya.

Tiga adinda Sultan Pahang, Tengku Datuk Kalsom Sultan Abu Bakar; Tengku Datuk Norazahan Sultan Abu Bakar dan Tengku Datuk Noor Ashikin Sultan Abu Bakar mendahului senarai penerima dengan dikurniakan angerah S.S.A.P.

Sementara itu, Afdlin ketika ditemui berkata, penganugerahan D.I.M.P. diterimanya ini disifatkan sebagai penghargaan tertinggi buatnya sepanjang 26 tahun terlibat dalam industri seni.

Menurut Afdlin atau nama sebenarnya, Afdlin Shauki Aksan, 46 tahun, penganugerahan itu membakar semangatnya untuk lebih aktif melakukan kerja-kerja amal bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan bantuan.

"Alhamdulillah, kena pada masanya kerana saya baru sahaja menubuhkan Yayasan Afdlin Shauki supaya kerja amal yang dilakukan lebih teratur dan tertib.

"Penghargaan ini tidak boleh dilihat dari sudut anak seni semata-mata memandangkan ada bidang lain juga diberi perhatian kerana saya sentiasa melibatkan diri dalam kerja amal,” katanya ketika ditemui di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Katanya, penganugerahan berkenaan diiringi dengan tanggungjawab yang cukup besar supaya kemuliaan gelaran berkenaan terpelihara.

Sementara itu, Aliff Syukri berkata, anugerah yang dikurniakan dengan membawa gelaran Datuk Seri kepadanya adalah pencapaian yang tidak dijangka.

β€œIa menjadi kenangan manis buat saya dan isteri. Dalam usia 30 tahun, saya berharap anugerah ini menjadikan saya sekeluarga lebih murah rezeki dan dikurniakan kebahagiaan,” katanya.