“Allahyarham merupakan seorang yang kuat dan cekal dalam mengharungi pahit getir kehidupan terutamanya dalam bidang keusahawanan.”

Itu antara rahsia yang dikongsikan usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri yang juga kenalan rapat kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad.

Malah, beliau amat terkejut dengan berita itu terutamanya apabila Allahyarham sudah berjanji untuk berjumpa beliau malam ini.

“Sebenarnya Allahyarham merupakan seorang wanita kacukan Pakistan yang begitu kuat dan cekal.

“Selain menjual produk kosmetik, Allahyarham turut serta dalam pelbagai bisnes lain. Malah kejayaan produk Allahyarham bukan sahaja di Malaysia, malah hingga ke Indonesia.

“Allahyarham memulakan bisnes beliau dari bawah tanpa pinjaman bank dan sepanjang 15 tahun bergiat seni dalam bidang perniagaan, beliau tidak pernah lupa untuk menderma,” katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.



BACA: Pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban meninggal dunia dalam kemalangan di Thailand

Aliff Syukri turut meluahkan perasaan sedih dan hiba apabila mendengar berita pemergian Allahyarham yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand.

Dalam pada itu, Aliff Syukri turut berkongsi sifat keperibadian Allahyarham yang tidak pernah cemburu dengan kejayaan usahawan lain walaupun menjual produk yang sama.

“Ribuan penjualan produk kosmetik yang ada di negara ini dan bukan senang untuk kami golongan usahawan memperjuangkan sehingga berjaya untuk berada di puncak sama seperti Allahyarham.

“Allahyarham tidak pernah sombong, tidak pernah cemburu serta tidak pernah kutuk orang lain, itu sifat peribadi Allahyarham yang sangat saya kagum,” luahnya.



Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh anaknya Iqbar Hakim menerusi akaun Instagram pagi ini.

Dalam satu video, Iqbar meminta agar orang ramai dapat mensedekahkan Al-Fatihah buat arwah ibunya.