Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap ahli Parlimen Cameron Highlands, C Sivarraajh selepas mahkamah pilihan raya mendapati beliau bersalah merasuah pengundi Orang Asli untuk menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

The Malaysian Insight melaporkan Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Azam Baki mengesahkan Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC itu disiasat, namun enggan mengulas lanjut.

Sumber lain dalam agensi itu memaklumkan terdapat individu lain juga disiasat.

“Kami membuka siasatan terhadap mereka yang terlibat. Bukan seorang individu sahaja.

“Kami akan memanggil mereka yang terlibat,” kata sumber tersebut kepada The Malaysian Insight.

Pada Jumaat, mahkamah pilihan raya membatalkan kemenangan Sivarraajh pada PRU14 dan mengarahkan supaya pilihan raya kecil diadakan.

Hakim Azizah Nawawi berkata calon DAP, M Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan kepada BN pada PRU14.

Sivarraajh didapati bersalah memberikan suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya 9 Mei lalu.

Hakim Azizah berkata M Manogaran berjaya membuktikan calon BN itu melakukan aktiviti rasuah semasa mesyuarat pada 28 April serta pada 3, 6, 7, 8 dan 9 Mei tahun ini.

Dalam petisyennya yang difailkan pada 4 Jun lalu, Manogaran menamakan Sivarraajh sebagai responden tunggal.

Beliau mendakwa Sivarraajh ketika berkempen telah memberi rasuah antara RM30 dan RM1,000 kepada masyarakat orang asli melalui ketua kampung untuk memastikan mereka mengundi calon BN.

Pada PRU14 Mei lalu, calon BN itu memperoleh 10,307 undi mengalahkan Manogaran yang mewakili Pakatan Harapan dengan 9,710.

Calon Pas, Wan Mahadir Wan Mahmud pula memperoleh 3,587 manakala calon PSM dan Berjasa hilang wang pertaruhan.