Tutup

Amanat pembangunan mapan Ban Ki-Moon kepada Malaysia

Amanat pembangunan mapan Ban Ki-Moon kepada Malaysia
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keamanan Sejagat dan Pembangunan Mapan) kepada Ban Ki-moon di UKM, Bangi pada Rabu. - Gambar BERNAMA
BANGI: Penerima Ijazah Kehormat Keamanan Sejagat dan Pembangunan Mapan yang juga bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon menyeru agar semua pihak di negara ini terus mendokong Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) PBB 2030.

Menurut Ki-Moon, pemerkasaan pendidikan yang terkandung dalam SDG 2030 menuntut penglibatan semua pihak.

Katanya, menerusi pemerkasaan pendidikan, pembangunan mapan dapat direalisasikan demi menjaga keamanan sejagat.

“Untuk merealisasikan Matlamat Pembangunan Mapan 2030, kita (Dunia) memerlukan bantuan semua pihak termasuk kerjasama diantara kerajaan, masyarakat dan ahli akademik.
“Pendidikan berkualiti adalah kunci utama daripada 16 matlamat pembangunan mapan.

"Tanpa pendidikan, adalah sukar bagi kita (dunia) untuk melaksanakan kesemua agenda itu seperti contoh di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini yang menyediakan pendidikan berkualiti. Ini sangat diperlukan dalam membasmi kemiskinan, kesaksamaan gender dan kesihatan umum," katanya
Ki-Moon berkata demikian semasa menyampaikan syarahan Global Peace Sustainable Development anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM di Bangi pada Rabu.

Dalam masa sama, Ki-Moon optimis seandainya kerjasama ini dapat diteruskan, ia boleh mengelakkan perubahan iklim yang drastik seperti taufan dan kenaikan paras air laut sekali gus menjejaskan manusia.

Terdahulu Ki-Moon menerima Ijazah Kehormat Kemanan Sejagat dan Pembangunan Mapan dari UKM dalam Majlis Konvokesyen UKM ke-47 yang disampaikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang juga Canselor UKM, Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Hadir sama Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Burhanuddin.

UKM merupakan universiti pertama di negara ini yang memberi penganugerahan itu bagi menghargai dedikasi dan sumbangan berterusan Ki-Moon ke arah kemapanan dunia.

Beliau yang memegang jawatan tertinggi dalam badan dunia itu selama dua penggal dari Januari 2007 hingga Disember 2016, bertanggungjawab kepada beberapa perubahan besar terhadap keamanan dunia, isu pemanasan global, kemiskinan, wanita dan belia.

Inisiatif utama Ki-Moon selepas dilantik sebagai Setiausaha Agung kelapan PBB membabitkan Sidang Kemuncak Perubahan Iklim yang meletakkan isu perubahan iklim sebagai agenda global.


Tag: Ban Ki-Moon, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, Ijazah Kehormat Keamanan Sejagat dan Pembangunan Mapan, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM, Bangi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.