Tutup

Amaran cuaca buruk di Pahang, Kelantan dan Terengganu

Amaran cuaca buruk di Pahang, Kelantan dan Terengganu
Hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu serta di kawasan Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang dan Mersing dan Kota Tinggi di Johor sehingga 2 Disember. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuara buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Isnin, dengan beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu dilanda banjir.

MetMalaysia dalam satu kenyataan petang Jumaat memberitahu hujan lebat dijangka berterusan di Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan; Hulu Terengganu di Terengganu dan Rompin di Pahang.
Mereka juga menjangkakan hujan lebat di Kelantan dan Terengganu serta di kawasan Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang dan Mersing dan Kota Tinggi di Johor sehingga 2 Dis.

Di Kelantan, 29 orang daripada lima keluarga di Kampung Chenulang, Kota Bharu telah dipindahkan ke pusat pemindahan hari ini, selepas rumah mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter.
Pegawai Pertahanan Awam Kuala Krai Kapten (PA) Mohd Hanid Omar berkata, kampung berhampiran seperti Kampung Enggong, Pasir Jering, Kuala Pertang dan Kebun Pisang juga bersedia, untuk menghadapi banjir.

"Kami percaya, lebih banyak penduduk kampung, terutamanya yang terletak berhampiran dengan sungai, akan dipindahkan kerana paras sungai dijangkakan untuk meningkat," katanya.

Di Terengganu, 283 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di daerah Besut dan Setiu, setakat jam 2 petang.

Hujan lebat di Besut dan Setiu sejak malam semalam, telah menyebabkan paras di tiga sungai di Setiu dan satu di Besut melepasi paras bahaya, mengikut portal Jabatan Pengairan dan Saliran.

Dilaporkan juga beberapa sungai di daerah Hulu Terengganu dan Dungun, telah melepasi paras berjaga-jaga dan juga paras amaran.

-- BERNAMA


Tag: met malaysia, pantai timur, kelantan, terengganu, pahang, cuaca buruk, hujan lebat, banjir



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.