Anak muda digesa mengambil iktibar daripada kes mendiang T. Nhaveen, 18, yang meninggal dunia akibat dibuli dan dipukul di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan berkata insiden itu jelas menunjukkan pengaruh anasir negatif sehingga pelaku tergamak mencederakan seseorang dengan cara tidak berperikemanusiaan.

"Kes Nhaveen perlu dijadikan pengajaran, seorang ibu hilang anaknya, seorang lagi masih dirawat, dan masa depan lima anak muda yang ditahan kerana disyaki mencederakan mangsa kini gelap.

"Setiap belia bertanggungjawab mengubah kehidupan keluarga masing-masing, elakkan diri daripada terlibat dalam gejala-gejala tidak berfaedah, dan jadikan pendidikan sebagai asas utama bagi meningkatkan taraf hidup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 100 pelajar dan ibu bapa pada Majlis Graduasi Pelajar Program Teknologi Maklumat anjuran Yayasan Gerakan Afirmatif Baharu (NAAM) di sini, hari ini.

Nhaveen yang dibuli dan dipukul sehingga mengalami kecederaan parah oleh sekumpulan remaja awal pagi Sabtu lepas di Jalan Kaki Bukit, Taman Tun Sardon, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pukul 6 petang Khamis lepas.

Dalam kejadian pada pukul 2.10 pagi Sabtu lepas, lima remaja berusia antara 16 dan 18 tahun dilapor memukul Nhaveen dan rakan baiknya T. Previin menggunakan topi keledar. Previin yang turut cedera dan kini dirawat di HPP bagaimanapun dapat melarikan diri ketika mereka dikatakan cuba diheret ke padang berdekatan.

Susulan kejadian itu, polis menahan lima remaja termasuk dua pelajar tingkatan empat dan lima bagi membantu siasatan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Pada majlis itu, Saravanan yang juga Pengerusi NAAM menyampaikan sijil tamat belajar kepada pelajar-pelajar dari Institut Teknologi Inovasi (ITI) yang telah menjalani program teknologi maklumat (CompTIA) selama tiga bulan.

Program yang dibiayai penuh oleh Yayasan NAAM bertujuan mendedahkan golongan B40 daripada kaum India kepada prospek teknologi maklumat yang luas dan menyediakan mereka dengan asas bidang itu.

-- BERNAMA