Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diminta segera mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan insiden kemalangan jalan raya melibatkan murid di kawasan berhampiran sekolah berulang kembali.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Khair Mohamad Yusof berkata ini berikutan JPN mempunyai maklumat lebih terperinci mengenai persekitaran sekolah untuk membuat perancangan selanjutnya.

"Kementerian Pendidikan memandang serius perkara ini (kemalangan) dan berharap langkah sewajarnya diambil,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Penerangan Dasar-Dasar Utama kementerian itu di sini hari ini.

Khair berkata Kementerian Pendidikan juga mempunyai garis panduan berhubung tindakan yang boleh diambil berhubung kejadian itu selain garis panduan lengkap berkaitan keselamatan jalan raya di kawasan-kawasan sekolah.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes kemalangan maut melibatkan pelajar berhampiran kawasan sekolah baru-baru ini.

Pada 21 Sept, seorang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Medan, Bagan Serai, Perak, maut akibat dilanggar treler ketika melintas untuk memasuki perkarangan sekolahnya, manakala sehari sebelumnya murid Tahun Empat SK Santong, Dungun, Terengganu turut maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan untuk memasuki pekarangan sekolah.

Mengulas mengenai program jelajah berkenaan yang kali ketiga diadakan selepas Miri dan Alor Setar, Khair berkata pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada guru, pelajar dan ibu bapa.

"Antara soalan yang kerap kami terima sepanjang jelajah ini adalah berkenaan syarat dan peluang bagi memasuki sekolah berasrama penuh dan kolej vokasional," katanya.