Aspek keselamatan fizikal perlu dititikberatkan oleh pihak yang bertanggungjawab membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memastikan tragedi malang menimpa kanak-kanak perempuan yang maut semalam akibat terjatuh dari tingkat 17 bangunan itu, tidak berulang.

Malah, ibu bapa atau penjaga sepatutnya tidak membiarkan kanak-kanak tinggal berseorangan di rumah.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, aspek keselamatan bangunan PPR dan tanggungjawab keluarga perlu diingatkan kepada masyarakat.

“Fizikal pembangunan PPR Kota Damansara itu perlu dilihat. Apabila PPR itu dibangunkan, soal keselamatan dari segi pemasangan jeriji di bahagian atas diambil kira atau tidak?

“Aspek kedua ialah tanggungjawab keluarga, tidak patut tinggalkan kanak-kanak keseorangan di rumah kerana ia membawa risiko, apatah lagi mempunyai kerusi plastik di ruangan balkoni yang tidak ditutup dengan jeriji,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI bagi mengulas mengenai isu keselamatan berikutan kes seorang kanak-kanak perempuan yang maut akibat terjatuh dari tingkat 17 di PPR Kota Damansara, awal pagi semalam.

Dalam pada itu, Lam Thye turut menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian yang menimpa kanak-kanak malang itu.