Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat mengambil pengajaran daripada kes pedofil warga Britain, Richard Huckle bagi mencegah kanak-kanak Malaysia daripada menjadi mangsa serangan seksual.

Perdana Menteri berkata semua pihak perlu memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada situasi atau keadaan di mana orang yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas mereka.

"Mereka yang bertanggungjawab ke atas penjagaan kanak-kanak mestilah lebih prihatin dan peka bagi mencegah perbuatan terkutuk ini dari berlaku," kata Najib di laman Facebook.

BACA: Richard Huckle berpeluang bebas selepas 23 tahun, netizen tuntut hukuman setimpal

BACA: Pedofil Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup

BACA: Pedofil warga Britain mengaku cabul puluhan kanak-kanak miskin Malaysia

Perdana menteri berkata beliau berasa amat marah dan sedih apabila mengetahui mengenai kes penderaan seksual ke atas kanak-kanak Malaysia oleh Huckle.

Huckle, 30, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah Britain selepas mengaku salah atas 71 pertuduhan penderaan seksual ke atas kanak-kanak di Malaysia.

Dia dikehendaki menjalani hukuman minimum penjara 25 tahun.

Dia dilapor melakukan pelbagai kesalahan bersifat seksual ke atas 200 kanak-kanak Malaysia berusia antara enam bulan dan 12 tahun, dari 2006 hingga 2014.