Ibu bapa perlu tegas dengan anak remaja serta sentiasa ambil tahu dan peka sama ada anak mereka sudah pulang ke rumah atau tidak apabila lewat malam, kata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, ibu bapa juga harus mengambil tahu dengan siapa anak mereka keluar, apa yang dibuat oleh anak mereka serta menetapkan pukul berapa seharusnya anak tersebut perlu balik dan berada di rumah.

"Kalau ibu bapa hendak menjadi 'parents yang understanding' pun hanya setakat mana yang perlu," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tragedi lapan remaja berusia 13 hingga 16 tahun yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di Johor Bahru dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi Sabtu lepas.

Beliau ditemui selepas majlis prapelancaran dan sidang media Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!! di Seri Perdana di sini, hari ini.

Sambil menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kejadian tersebut, Rosmah berkata beliau berharap selepas ini ibu bapa akan memberi lebih perhatian kepada anak masing-masing serta tidak membiarkan mereka merayau selepas tengah malam.

Beliau berkata ibu bapa tidak boleh mengamalkan sikap tidak kisah sama ada anak masing-masing sudah balik atau belum terutamanya apabila waktu sudah lewat malam.

Tambah Rosmah, ibu bapa perlu mengambil tahu keadaan anak remaja masing-masing terutamanya apabila mereka keluar rumah dan tidak balik sehingga awal pagi.

Jelasnya, beliau bersetuju dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar supaya ibu bapa melarang anak-anak mereka bermain di kawasan-kawasan bahaya bagi mengelak kejadian yang tidak dingini.

"Saya sangat bersetuju dengan titah tuanku 'Biar dia (anak remaja) yang menangis, jangan kita (ibu bapa) menangis," katanya. -- Bernama