SUDAHLAH kematian suami tercinta, kedai menjual alatan tenunan milik keluarga yang diwarisi sejak 15 tahun dahulu pula terpaksa ditutup untuk memberi laluan kepada pembangunan baharu.

Itulah nasib malang yang menimpa Jenny Lee, 45 tahun, salah seorang peniaga di kompleks membeli belah yang pertama di ibu kota iaitu Ampang Park.

Ketika ditemui Astro AWANI di kedainya DMC Creative World - Haby & Wools di tingkat tiga kompleks itu, Jenny tidak menang tangan melayani para pelanggan yang dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Barang kali itulah rahsia mengapa kedai beliau cukup dikenali oleh penggemar barangan tenunan yang telah dimulakan sejak tahun 1968 lagi di Robinson’s Department Store (Jalan Mountbatten), dan berpindah ke Ampang Park pada tahun 1973.

“Kami antara peniaga pertama di kompleks ini, dan kami akan berada di sini hingga detik-detik terakhir (31 Disember),” katanya, merujuk kepada tarikh akhir para peniaga wajib untuk mengosongkan premis masing-masing.

Perniagaan ini dimulakan datuknya pada 1968.
Jenny berkata ada pelanggan tetap yang datang dari Johor semata-mata untuk membuat pembelian di samping memberi sokongan kepada keluarga dan perniagaannya.

Ditanya apa langkah seterusnya, Jenny menjelaskan beliau agak kesuntukan masa dan dana untuk mencari tempat baharu, dan bagi memastikan jenama itu hidup, pasaran dalam talian mungkin pilihan terbaik buat sementara waktu.

Pemilik strata dan penyewa mula dimaklumkan pada tahun 2015 untuk mengosongkan premis masing-masing bagi memberi laluan kepada pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh - Serdang - Putrajaya (SSP).

Walaupun mereka cuba mengambil tindakan undang-undang pada awal 2016 bagi membekukan arahan itu, Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif telah mengetepikan tindakan itu pada Jun tahun ini.

Bagi penjaga kedai fotografi, Lee Kim Hong, 47 tahun, pula, tidak akan ada tempat lain yang setanding dengan Ampang Park walaupun difahamkan beliau akan berpindah ke premis baharu sama ada di Plaza Low Yat atau Midvalley.

Tidak akan ada tempat yang sama seperti Ampang Park, kata Lee.
“Perasaan itu tidak akan sama kerana saya sudah berada di sini hampir 10 tahun, dan kedai ini sudah beroperasi hampir 20 tahun.

"Perasaan itu tidak akan dapat di tempat baharu,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pengunjung ‘tegar’ Ampang Park, Abdul Fatah Al Sabri Jaafar memberitahu Astro AWANI, Ampang Park merupakan lokasi yang cukup popular, dan ia turut menjadi pilihan pembikin filem Melayu era 80an untuk penggambaran.

Di sini juga, katanya lagi, terdapat Klinik Salma iaitu antara klinik kegemaran perdana menteri ketiga Tun Hussein Onn dan timbalannya ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad).

Abdul Fatah mengakui beliau cukup terkesan memandangkan kompleks itu mempunyai nostalgia yang cukup dekat di hatinya.

Pemilik strata dan penyewa diberi tempoh hingga 31 Dis untuk mengosongkan premis.
Bagi bekas penjawat awam Halimaton Abdul Rauf, 58 tahun, beliau mula menjejakkan kaki ke Ampang Park seawal usia 19 tahun lagi, iaitu sewaktu berkhidmat di Kementerian Pelancongan di Jalan Ampang.

“Masa itu, di sini cukup banyak kedai-kedai makan yang popular, termasuk di Jalan Binjai. Di sinilah tempat kami membeli belah, ada panggung wayang dan ada tempat nyanyi-nyanyi,” katanya.

Namun, bagi dirinya, pembangunan itu perlu diberi keutamaan, terutamanya bagi menjamin gaya hidup yang lebih baik untuk generasi masa kini dan akan datang.

“Kita kena ikut arus pembangunan. Jadi bagi pengguna dan peniaga di Ampang Park, mereka dah nikmati selama ni, terutamanya peniaga. Jadi saya harap peniaga-peniaga akur dan mereka pun akan (difahamkan) akan pergi ke tempat lebih baik.

“Saya pohon generasi muda terima sebarang pembangunan yang dibuat kerajaan, sebab kita sejajar dengan kehendak, kemodenan, dan setaraf dengan negara lain juga. Walaupun sedih, kita kena akur, demi untuk kebaikan semua,” katanya lagi.