Seekor gajah jantan yang ditangkap di Kampung Memali, Baling pada Khamis berjaya dipindahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah ke Hutan Simpan Royal Belum, Grik dalam satu operasi pemindahan yang bermula kira kira jam 9 pagi tadi.

Menurut Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim, proses pemindahan gajah tersebut turut dibantu dua ekor gajah denak bernama Abot dan Rambai yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah bagi tujuan memujuk.

Jelasnya, gajah jantan berusia 15 tahun seberat dua tan itu berjaya ditangkap kira-kira jam 10.30 malam pada Khamis selepas pihak Perhilitan telah menerima banyak aduan daripada penduduk di sekitar Kampung Memali dan Kampung Charok Puteh, mengenai gangguan gajah terbabit.

Tambah Jamalun, aktiviti keluar masuk gajah yang berasal dari hutan simpan di baling itu ke kawasan kampung bermula sejak dua tahun lepas, namun ia mula mengganas pada pertengahan Mei lalu.

"Kalau tengok pada orang kampung punya maklum balas, ada kata (gajah itu) jinak, tapi haiwan liar ni memang kita tak jangka dia punya perangai.
“Kadang-kadang kita tengok jinak, bila sampai peringkat mana memang (boleh bertukar) ganas. Apabila kata hidupan liar, (sifatnya) memang ganas dan berbahaya pada orang kampung.
“Kita akan hantar dan lepaskannya ke Hutan Simpan Royal Belum,” ujar Jamalun.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan proses pemindahan yang turut dibantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahahan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), berlaku dalam jangka masa yang lambat adalah disebabkan kedudukan geografi kawasan terbabit yang berbukit-bukau.

Di samping itu, pihak penguatkuasa perlu membuat persediaan rapi bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada anggota yang bertugas serta gajah itu sendiri.

Jelasnya, usaha pemindahan itu bertujuan untuk memastikan gajah itu lebih selamat di habitat baharunya.

Tambah Jamalun, beliau turut tidak menolak kemungkinan akan berlaku lagi gangguan sama pada masa akan datang memandangkan kawasan kampung tersebut mempunyai banyak sumber makanan termasuk kelapa sawit, kebun pisang dan buah-buahan.

Oleh itu, pihak Perhilitan akan sentiasa melakukan pemantauan dan tindakan segera jika ada aduan daripada penduduk sekitar pada masa akan datang.