Anak muda perlu berani meluahkan pendapat dalam apa sahaja situasi, tidak kira membabitkan kerajaan mahupun pembangkang.

Itu yang ditegaskan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan golongan belia terus menjadi pemangkin perubahan di Malaysia.

"Jangan jadikan akta, contohnya Akta Hasutan itu sebagai penghalang untuk bersuara. Anda masih muda, jangan terlalu bimbang.

"Apa sahaja situasi, ada pengajaran dan pembelajaran di sebaliknya. Jadi jangan takut untuk melakukan kesilapan.

"Ini masa untuk anda mempersoalkan semua yang bermain di fikiran. Tidaklah nanti apabila sudah masuk usia 30an, anda akan terus tertanya-tanya tetapi sudah tidak mampu berbuat apa-apa," kata beliau.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini berjanji akan meneliti semula beberapa undang-undang dan akta, termasuk Akta Hasutan 1948.

Dalam pada itu, beliau meminta agar golongan pelajar meningkatkan kualiti diri sendiri dengan cara memperbaik penguasaan bahasa Inggeris dan mempelajari ilmu tambahan di luar bidang pengajian.

"Saya tidak risau tentang ranking universiti. Apa yang membimbangkan adalah kebolehpasaran pelajar kita selepas tamat pengajian.

"Sukar meletakkan tahap kemajuan diri sendiri jika kita hanya menguasai bahasa dan bidang sendiri," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucaptama dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ke-12 di sini, hari ini.

Sidang kemuncak anjuran Kumpulan Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdom, berlangsung selama sehari, dan turut membabitkan ahli-ahli panel seperti Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Sim Chee Keong; dan Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak.