Ketua Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mendedahkan Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa merupakan ahli parti berkenaan.

Beliau mengesahkan, penyertaan Yamani yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman di dalam Bersatu Sabah itu berdasarkan kad keahlian yang diterimanya sebelum ini iaitu sejak Januari lalu.

Bagaimanapun, penyertaan Ahli Parlimen Sipitang tidak diuar-uarkan memandangkan Bersatu di Sabah belum lagi digerakkan sepenuhnya.

"Sejauh mana yang saya tahu, beliau (Yamani) sudah berdaftar sebagai ahli parti, dia sudah ada kad keahlian.

"Ini Bersatu (Sabah) belum lagi bergerak sepenuhnya, mahu diuar-uarkan, jadi sabarlah, yang penting dia sudah jadi ahli parti, yang saya dimaklumkanlah," katanya.

Hajiji berkata demikian selepas ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Kampung Serusup, Tuaran, pada Khamis.

Mengulas mengenai kedudukan Yamani di tempat duduk sidang Parlimen yang diletakkan di kawasan wakil rakyat bebas, Hajiji tidak mempunyai sebarang maklumat jelas mengenainya.

Tambah beliau, apa yang penting Yamani sudah menerima kad keahlian sebagai ahli Bersatu dan merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu yang 'dicadangkan'.

Sementara itu, dalam majlis rumah terbuka Hajiji turut dimeriahkan dengan kehadiran Musa Aman yang ditemani Yamani.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan komen Yamani mengenai perkara itu gagal memandangkan beliau enggan memberikan sebarang kenyataan kepada media setakat ini.

Yamani kini berhadapan dengan petisyen mahkamah daripada calon Warisan di Sipitang dalam keputusan pilihan raya umum ke 14 (PRU-14) lalu dan keputusan rayuannya akan dibuat pada 26 Jun ini.

Yamani, 40, sebelum ini merupakan ahli parti UMNO dan beliau merupakan Ahli Parlimen Sipitang.