Tutup

Anak saya panjat tembok sejurus terdengar teriakan 'run' - Bapa saksi serangan masjid Christchurch

Anak saya panjat tembok sejurus terdengar teriakan 'run' - Bapa saksi serangan masjid Christchurch
Dr. Khairudin tidak menyangka New Zealand ditimpa insiden hitam yang hampir mengorbankan anaknya sendiri. - Foto Google
KUALA LUMPUR: Seorang remaja warga Malaysia bernasib baik apabila dia terlepas daripada menjadi korban pengganas di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand selepas memanjat tembok masjid berkenaan dalam kejadian pada Jumaat.

Idris Khairudin, 14, tidak menunggu lama sebaik mendengar bunyi tembakan sebelum disusuli dengan jeritan ‘run’ (lari) meminta semua jemaah melarikan diri sebaik masjid berkenaan diserang seorang individu yang melakukan tembakan rambang ke serata tempat.
Bapanya, Dr. Khairudin Mohamed ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu mengakui terkejut dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.


“Idris hari itu bersekolah. Biasanya hari Jumaat dia tak dapat hadir ke sembahyang Jumaat. Namun pada hari itu, sekolah tamat pukul 11 pagi. Dia sepatutnya ke program ‘climate change’ di sekolah, tetapi dia mengambil keputusan untuk tidak pergi ke program sekolah itu kerana telah beberapa minggu tidak dapat menunaikan sembahyang Jumaat.
“Memang saya galakkan nak pergi sembahyang Jumaat, jadi hari itu dia pergi. Seperti biasa anak-anak ini suka bermain ke depan dan ke belakang (masjid). Biasanya dia di depan mimbar, tapi hari itu dia cakap dia bergerak ke belakang sedikit yang terlindung daripada pandangan orang yang menembak itu.

“Bila dia mendengar saja bunyi tembakan, dia pun panik sekejap. Tak pasti apakah bunyi bising itu. Dinding pecah, kaca pecah,” katanya.

Idris kemudian terus berlari dan melompat keluar ke pintu sebelum memanjat pagar masjid yang menghubungkan ke kawasan kejiranan.

Remaja berkenaan menyorok di sebalik pagar itu selama beberapa minit sebelum beredar ke ke seberang jalan ke Hagley Park yang merupakan kawasan orang ramai berjoging.

“Tapi dia tak tahu nak lari ke mana dan dia hubungi kakaknya yang berada di rumah. Kakaknya kemudian berlari ke arah kolej itu untuk mendapatkannya lebih kurang satu kilometer,” jelas Khairudin.

Khairudin bagaimanapun berjaya menghubungi Idris sejam selepas itu bagi menenangkan emosi anaknya yang trauma.

Dia yang merupakan pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal, Pulau Pinang kini sedang dalam perancangan bersama isterinya untuk ke Christchurch.

Kejadian tembakan pada jam 1.40 tengah hari Jumaat (waktu tempatan) di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch itu mengorbankan 49 nyawa manakala lebih 40 orang cedera.


Tag: christchurch, New Zealand, terrorism, terrorist, pengganas, masjid, al noor, Jacinda Ardern, tembakan, remaja, rumah, Malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.