Gara-gara tidak dibenarkan untuk menggunakan motosikal, seorang anak tergamak menetak bapa kandungnya berusia 90 tahun dengan parang dalam kejadian di Kampung Tersusun Bukit Chawi, Kampung Gajah, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 2 petang di perkarangan rumah mereka, Bahari Itam terpaksa menerima 12 jahitan di kepala dan tapak tangan selepas ditetak oleh anak lelakinya berusia 38 tahun yang juga seorang penagih dadah.

Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Ulu Dedap, Seberang Perak untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah hari ini berkata suspek yang tidak bekerja kemudiannya ditahan keesokan harinya di kampung tersebut.

Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati suspek yang telah menagih dadah sejak berumur 20 tahun itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

“Suspek merupakan anak ke-12 daripada 13 adik beradik dan semasa kejadian berlaku tiada saksi yang nampak kejadian yang sebenar.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Batu Gajah esok di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohamad Zainal berkata kejadian dipercayai berlaku apabila suspek tidak dibenarkan menggunakan motosikal milik mangsa kerana mangsa ingin menggunakannya.

“Oleh sebab itu berlaku pertengkaran sehingga suspek telah berlari ke dalam biliknya dan mengambil sebilah parang sebelum menetak mangsa sehingga berlumuran darah.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal milik bapanya itu,” katanya.

-- BERNAMA