Tutup

Analisis: Lihat TPPA dari perspektif terbuka tanpa terkongkong ideologi politik

Analisis: Lihat TPPA dari perspektif terbuka tanpa terkongkong ideologi politik
TPPA tawar pasaran produk lebih luas, harga lebih kompetetif - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Akhir-akhir ini Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) menjadi bahan siaran utama dalam akhbar-akhbar perdana malah dalam media sosial yang menarik perhatian rakyat negara.

Walupun TPPA tidak menimbulkan keghairahan dalam kalangan rakyat pelbagai golongan merentasi kaum seperti isu GST dan 1MDB, namun aktivis politik, terutamanya politik yang memihak parti pembangkang kian membangkitkan isu ini dalam penulisan mereka.
TPPA akan dibentang dalam sidang khas Parlimen pada 26 Januari adalah untuk mendapat pandangan dan persetujuan wakil-wakil rakyat bagi membuat keputusan untuk menandatangani persetujuan menyertai TPPA.

Secara umumnya TPPA merupakan perjanjian yang masih belum dimuktamadkan antara beberapa negara-negara yang terdiri daripada Pertubuhan Negara-Negara Anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Pada asalnya, empat negara di kawasan Pasifik (P4) seperti Brunei, Chile, New Zealand dan Singapura menandatangani satu penjanjian kerjasama perdagangan  antara mereka pada 2006 seterusnya kumpulan ini  dikembangkan serta disertai beberapa negara lain saperti Australia, Canada, Jepun, Mexico, Peru, Amerika Syarikat (AS), Vietnam dan Malaysia sendiri. 

Ini bermakna 12 negara daripada 21 negara yang  menganggotai APEC berhasrat untuk menjalinkan  hubungan kerjasama perdagangan yang lebih erat dan mantap dengan bagi mencapai mengurangkan tarif perdagangan antara mereka demi kepentingan ekonomi negara masing-masing.


Penjajahan baru ekonomi?

Sehingga kini, negara-negara seperti Korea Selatan, Indonesia, Thailand dan Filpina menyatakan persetujuan untuk menyertai TPPA. Namun, ada pihak yang mendakwa  TPPA adalah satu bentuk penjajahan baru ekonomi yang dipimpin AS sekali gus rakyat akan mengalami kerugian jika negara menyertai TPPA.

Ada pihak mendakwa sekiranya kita menyertai TPPA, keselamatan negara akan tergugat malah kepentingan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan terjejas terutamanya industri yang dipelopori oleh Bumiputera sendiri.

Pelbagai dakwaan yang ditimbulkan pihak-pihak tertentu di dalam media sosial didapati menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat kononya pasaran negara akan dipenuhi dengan produk dan barangan luar negara yang mungkin harganya lebih mahal daripada harga semasa.

Sementara IKS juga akan 'menggulung tikar' kerana tidak mampu bersaing dengan produk dan industri multinasional yang bakal diwujudkan di Malaysia.

Persoalannya, apakah benar TPPA merupakan sebuah perjanjian yang bakal menjual negara kepada AS?

Apakah negara menyertai TPPA tanpa menghalusi pro dan kontra atau kebaikan mahupun keburukkan TPPA kepada negara?

Apakah benar negara menyertai TPPA kerana mengikut telunjuk AS?

Apakah pasaran negara akan dipenuhi dengan produk dan perkhidmatan luar negara yang dijual pada harga di luar kemampuan rakyat Malaysia?

Sesungguhnya, TPPA satu usaha kerjasama untuk mengurangkan tarif perdagangan antara negara-negara yang menyertainya agar barangan keluaran negara masing-masing dapat menembusi pasaran yang lebih luas tanpa sebarang sekatan dan halangan ekonomi.

Ekonomi
Apakah benar pasaran negara akan dipenuhi produk dan perkhidmatan luar negara yang dijual pada harga di luar kemampuan rakyat Malaysia? - Gambar fail


Harga lebih kompetitif

Ia memberikan peluang kepada rakyat untuk menikmati dan membeli produk serta perkhidmatan keperluan yang berkualiti pada harga yang lebih kompetitif.

Sebelum ini dilaporkan melalui TPPA, duti impot bagi produk-produk eksport utama negara seperti barang-barang elektrik dan elektronik, barangan getah, minyak sawit, alat ganti automotif serta barangan kayu ke pasaran negara yang menyertai TPPA khususnya negara-negara  seperti AS, Kanada, Mexico dan Peru akan dimansuhkan.

Malah duti import bagi hampir 73 peratus daripada eksport barangan tekstil juga akan dimansuhkan dengan serta merta. Ini dijangka menguntungkan ekonomi negara.

Pemansuhan dan penurunan duti import produk negara akan membantu produk buatan Malaysia bukan sahaja menembusi pasaran yang lebih luas bahkan mampu berdaya saing di pasaran TPPA.

Sebagai contoh, kereta nasional Proton akan dapat menembusi pasaran automobil di negara-negara yang menyertai TPPA. Malah peluang pekerjaan, khususnya dalam kategori pengurusan dan kemahiran dijangka akan meningkat kerana syarikat multinasional akan membuka operasinya di Malaysia.

Dalam hubungan merangka syarat dan terma perjanjian TPPA, Malaysia bukan mengikut telunjuk AS ataupun  mana-mana  negara lain dalam membuat keputusan menyertai TPPA ataupun menyertai rundingan TPPA tanpa membincangkan dengan komuniti perdagangan tempatan.

Kerajaan juga telah mengadakan pertemuan dengan hampir 150 buah persatuan perniagaan dan NGO malah persatuan-persatuan yang mewakili industri tempatan juga ditemui untuk mengambil tahu pandangan mereka terhadap kesan Malaysia menyertai TPPA. 

Kerajaan juga telah menjalankan kajian impak terhadap pelaksanaan TPPA. Tambahan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang di diterajui Datuk Seri Mustapa Mohamed merupakan seorang pakar ekonomi dan, bertanggungjawap untuk hal-hal berkaitan TPPA.

Kerajaan juga difahamkan mengambil masa yang panjang dan dilihat sungguh berhati-hati dalam mengkaji dan merangka syarat serta terma-terma perjanjian agar ia tidak menjejaskan kepentingan rakyat negara ini.

Pengecualian

Walaupun pasaran kita terdedah dan terbuka kepada produk dan perkhidmatan luar negara dengan TPPA, kerajaan diberi pengecualian malah berhak membuat dasar-dasar awam terutamanya mengenai hal-hal yang berkaitan keselamatan, kesihatan awam dan alam sekitar dalam usaha mempelihara kepentingan rakyat dan negara sendiri. 

Sebagai contoh, kerajaan berhak membuat sesuatu dasar mengenai barangan makanan seperti produk halal.

Malaysia bernasib baik kerana berpeluang menyertai rundingan TPPA lebih awal untuk merangka terma-terma perjanjian khusus dalam mempertahankan beberapa perkara kepentingan Malaysia seperti pengecualian dalam bidang perolehan syarikat milikan kerajaan, dasar-dasar berkaitan ekonomi Bumiputera, label halal, melindungi IKS serta prodak kesihatan.

Faktor itu jelas menafikan dakwaan kononya AS menetapkan syarat mengikut kepentingannya dan memaksa negara lain seperti Malaysia untuk bersetuju adalah tidak benar malah mengelirukan rakyat.

Sebarang syarat dan terma yang terkandung dalam TPPA dicapai melalui persetujuan bersama (consensus) dan tidak timbul soal AS memaksa negara-negara lain.

Sekiranya AS merangka dan memaksa negara-negara lain untuk bersetuju dengan terma-terma TPPA, bagaimanakah negara Vietnam yang berperang dengan AS dan Jepun yang tidak lupa peristiwa pengeboman bom hidrogen yang menghancur dan memudaratkan kehidupan bangsa mereka sanggup menyertai TPPA? 

Memandangkan Malaysia mahu untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi, maka TPPA dilihat sebagai satu peluang keemasan bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan rakan dagang utama seperti AS, Jepun, Singapura dan mendapat akses lebih baik ke pasaran di Mexico, Chile dan Peru.

Rakyat negara ini harus melihat TPPA dari perspektif terbuka tanpa terkongkong dengan ideologi politik sesuatu parti politik tertentu kerana TPPA merupakan satu bentuk liberalisasi pasaran yang lebih luas dan besar.

Ia sekali gus mampu menjana persaingan terbuka malah mempromosikan ketelusan dan tadbir urus yang lebih baik.

Pada hemat saya, sama ada negara bersetuju atau tidak  dengan TPPA, perkara ini akan dipersetujui oleh 11 negara lain selain dimuktamadkan tidak lama lagi.

Oleh itu adalah wajar bagi negara menyertai TPPA  dalam usaha menikmati maanfaat kebaikan daripadanya selain tidak perlu bimbang terhadap perkara ini.

Perlu jelas, negara mempunyai hak untuk menarik diri dari TPPA dengan memberikan notis bertulis dalam masa 6 bulan sekiranya  tidak berpuas hati dengan perjalanan TPPA.



M. Periasamy merupakan penganalisis politik dan pensyarah komunikasi strategik di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.


Tag: tppa, gst, 1mdb, sme