Lautan bergelora perkara biasa, namun berdepan ancaman yang tidak terlihat adalah lebih menggerunkan!

Itu perumpamaan bagi para nelayan di Sandakan sehubungan kebimbangan mereka terhadap ancaman keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah yang mampu menjejaskan periuk nasi untuk mencari rezeki keluarga.

Jika sebelum ini kebanyakan mereka mampu turun ke laut sekitar 20 hari sebulan, namun kini hanya lima hari sebulan sahaja kerana mengibaratkan nyawa ibarat telur di hujung tanduk.

“Hidup seorang nelayan ini seperti seorang pejuang. Tidak semestinya dia turun ke laut, dia akan kembali ke rumah dan itu menjadi satu kerisauan. Memang perkara ini, selama ini kita hadapi.”

Perkara itu didedahkan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sandakan, Shaiful Bahari Muin yang turut menerima keluhan daripada sebahagian 1,500 ahlinya.

Mana tidaknya, dengan anggaran upah sekitar RM200 ke RM300 sehari, mereka kini hanya mampu meraih sekitar RM1,000 sebulan berbanding RM4,000 ke RM5,000 sebulan sebelum ini.

“Isu ini bagi para nelayan dan termasuk saya sendiri, memang kami masih merasa bimbang terutama sekali yang kami bimbang sekarang adalah sumber pendapatan kami.

“Dahulu macam saya kata tadi, kita dapat dalam 20 hari (sebulan) untuk kita turun ke laut mencari rezeki tetapi sekarang ini mungkin tinggal dalam lima hari sahaja (sebulan).

“Apabila kita turun ke laut, kita masih fobia. Macam kita fikir, ‘selamatkah saya turun (ke laut)?’ Bergantung kepada gerak hati masyarakat nelayan itu untuk turun untuk ke laut untuk mencari sesuap nasi. Kalau gerak hati kata jangan turun, lebih baik jangan turun. InsyaAllah, kalau gerak hati kita rasa baik, InsyaAllah baik,” katanya kepada Astro AWANI di sini pada Isnin.

Shaiful sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PNK Sandakan kali ke-26 yang dihadiri hampir 1,000 ahlinya di sebuah hotel di sini hari ini.

Jelas Shaiful, kebimbangan itu memuncak susulan kejadian penculikan oleh militan Abu Sayyaf yang akhirnya menyebabkan kematian kepada rakan sekampungnya, Jari Abdullah pada 9 April lalu.

Beliau yang turut berterima kasih kepada pasukan kesemalatan dan pertahanan yang menjaga perairan negara, mengharapkan agar jumlah keanggotaan keselamatan dan pertahanan negara dipertingkatkan.

“Saya mengharapkan agar pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau pihak berkuasa yang ada di sini, tidak perlu dikurangkan. Kalau boleh kami perlukan tambahan lagi anggota sebab perairan di Pantai Timur Sabah ini bukannya kecil, ia begitu luas.

“Kalau dari satu pusat kawalan ke satu pusat kawalan akan memakan masa antara 30 minit ke satu jam. Jadi, kalau boleh setiap kawasan ini, bolehlah ditambah bilangan anggota untuk menjaga keselamatan perairan negara dan amnya kepada nelayan,” katanya.

Mengikut statistik PNK Sandakan, terdapat hampir 1,500 nelayan yang berdaftar dibawah persatuan itu manakala dianggarkan 3,000 lagi nelayan sekitar Sandakan tidak mendaftar.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kumpulan Daesh kini menjadikan Tawau dan Sandakan sebagai transit untuk memasuki Selatan Filipina serta Rakhine, Myanmar.

Malah, Sandakan dan Tawau juga dilaporkan sebagai lokasi transit penyeludupan dadah sebelum dibawa ke negara jiran.

Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini turut melanjutkan perintah berkurung di kawasan perairan merangkumi tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sehingga 11 Mei ini.