Seorang anggota Jabatan Amal Pas ditahan polis di Kota Bharu pada Selasa bagi membantu siasatan dakwaan menyebarkan berita palsu di media sosial.

Penahanan lelaki berusia 55 tahun itu dikatakan susulan satu posting di Facebooknya yang didakwa memfitnah menteri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut.

"Penama (suspek) ini memang ada ditangkap hari ini (Selasa) dan tahanan reman selama dua hari," katanya.

Berdasarkan maklumat awal, suspek yang juga seorang peniaga dipercayai akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, penangkapan suspek viral di media sosial yang mengatakan seorang pegawai Pejabat ADUN Panchor, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ditahan polis.