Seorang anggota polis cedera di bahagian tangan dan menerima enam jahitan selepas diserang ketika cuba mententeramkan pergaduhan dua kumpulan pada malam Ahad.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 malam ketika satu perarakan keagamaan diadakan di Kuil Kaliamma, Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Bagaimanapun berlaku pentengkaran di antara dua kumpulan mengenai pemasangan khemah yang akhirnya membawa kepada pergaduhan menggunakan senjata parang.

Pihak polis yang bertugas cuba mententeramkan keadaan namun diserang suspek.

Seorang anggota penguat kuasa dari Balai Polis Bestari Jaya berusia 34 tahun cedera di bahagian belakang tapak tangan kiri dan menerima enam jahitan.

Manakala seorang mangsa awam mengalami kecederaan putus sebahagian tapak tangan kiri dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Polis percaya motif kejadian adalah kerana tidak berpuas hati beberapa kumpulan yang telah dikenal pasti.

Polis sedang memburu kesemua suspek yang terlibat dalam rusuhan itu.