Tutup

Anggota polis di sempadan Kelantan-Thailand diberi amaran jangan bekerjasama dengan penyeludup

Anggota polis di sempadan Kelantan-Thailand diberi amaran jangan bekerjasama dengan penyeludup
Pegawai dan anggota yang ditempatkan di sempadan Malaysia-Thailand, seperti di Sungai Golok, perlu mempunyai integriti yang tinggi. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana anggota atau pegawai polis yang didapati bersengkongkol dengan penyeludup di sempadan Kelantan-Thailand, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Menurutnya tindakan itu bukan sahaja boleh dikenakan terhadap polis di mana-mana balai tetapi juga ke atas mana-mana anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjalankan tugasan sempena Ops Wawasan di sepanjang sempadan.
Katanya, sebagai ketua pasukan keselamatan negeri beliau ingin mengingatkan kepada kesemua anggota supaya jangan sesekali terlibat dengan kegiatan penyeludupan.

"Saya ingin mengingatkan, sekiranya ada di antara anggota ditahan kerana terlibat bekerjasama dengan penyeludup mereka perlu menanggung risikonya.
"Kita percaya anggota yang menjalankan tugas di sempadan sering berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya melibatkan penyeludup," katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Katanya, apa yang paling penting setiap anggota yang ditempatkan di sempadan perlu mempunyai tahap integriti yang tinggi.

"Pegawai dan anggota yang ditempatkan di sempadan perlu mempunyai integriti yang tinggi kerana perlu berhadapan dengan kes melibatkan penyeludupan pelbagai barangan.

"Integriti yang tinggi adalah perlu kerana sifat seperti itulah yang boleh menghindari mereka daripada terlibat dengan perbuatan salah ataupun rasuah," katanya mengulas pendedahan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penglibatan anggota keselamatan dengan penyeludup, semalam.

-- BERNAMA


Tag: pegawai, anggota keselamatan, kawalan sempadan, kelantan-thailand, kelantan, thailand, seludup, penyeludupan, integriti



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.