Polis kini sedang memburu seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memukul dan mengugut isteri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, lelaki berusia 37 tahun itu diperlukan bagi membantu siasatan berhubung tiga laporan membabitkan ugutan jenayah, keganasan rumah tangga dan juga penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit juga telah meninggalkan tugasnya hampir tiga bulan dan merupakan seorang kakitangan awam yang bermasalah.

“Sebenarnya dalam kes ini memang kita telah mulakan siasatan. Anggota SPRM ini memang bermasalah. Dia pun telah lari dari tugas. Jadi, kita sedang mengesan dia.

“Kita telah buka kertas siasatan dan kita ada tiga laporan yang diterima terhadapnya. Dan kita dapati dia terlibat dengan dadah dan kita sedang mengesannya,” katanya di sini hari ini selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi PDRM.

Khalid berkata, kes anggota SPRM itu akan dikendalikan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Kanun Keseksaan dan juga Akta Keganasan Rumahtangga 1994.

Katanya, tiga kertas siasatan terhadapnya juga telah dibuka dan pihaknya percaya lelaki ini sedar bahawa dia sedang diburu pihak polis dan sengaja menyembunyikan diri.

Semalam, media melaporkan SPRM telah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap pegawainya yang didakwa memukul isterinya yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

SPRM dalam kenyataannya berkata, ia bersedia memberi kerjasama kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan laporan polis yang dibuat mengenai dakwaan wanita itu.