Seorang anggota tentera dan adik perempuannya maut apabila kereta mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kargo di simpang Jalan Kim San dekat sini malam tadi.

Mangsa Azrul Azzahar Tahir, 24, beralamat di Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur.

Pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.28 malam mendapati anggota itu dan adiknya Zulaikha, 13, tersepit di tempat duduk masing-masing dan meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sarikei, DSP Mat Jusoh Muhammad berkata mereka dipercayai dalam perjalanan dari Sibu menuju Spaoh.

"Mangsa yang memandu Proton Saga dilapor cuba memotong sebuah treler di hadapannya tetapi gagal lalu bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sarikei. - Bernama