Seorang anggota tentera diberkas polis selepas didapati positif dadah pelbagai jenis di dalam kawasan parkir Rehat dan Rawat ( R n' R) Alor Pongsu arah selatan di sini pada malam Isnin.

Dalam tangkapan sekitar 9.35 malam itu, suspek sedang berada di dalam kenderaan jenis Perodua MyVi dan polis turut merampas dadah jenis ganja seberat 525 gram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner R. Ravi Chandran berkata pihaknya turut merampas satu paket lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis methampetamin atau syabu dengan anggaran berat 6.7 gram.

"Selain itu, kami turut merampas lima lipatan aluminium berisi pil yang disyaki pil Eramin 5 anggaran berat sebanyak 45 biji, dan kesemua rampasan dadah tersebut bernilai sekitar RM2,100.

"Suspek, yang merupakan seorang anggota tentera juga telah menjalankan ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah jenis THC dan amphetamin," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada petang Khamis.

Ravi Chandra berkata suspek akan direman selama tujuh hari bermula dari tarikh tangkapan sehingga 2 Oktober ini.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori gantung sampai mati.

" Pihak PRDM ingin mengucapkan ribuan terima kaish kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan berharap agar sokongan berterusan akan diberikan dalam pembanterasan dadah di negeri ini,"katanya lagi.