Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berharap abangnya, Tan Sri Musa Aman yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah pulang ke pangkuan keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

Anifah berkata, kali terakhir bertemu dengan Musa di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini pada 10 Mei lalu.

Jelasnya, beliau dan keluarga terdekat juga tidak mengetahui kedudukan terkini bekas Ketua Menteri Sabah itu.

"Saya sudah lama tidak berhubung dengan beliau. Kali terakhir kita bertemu di Sri Gaya. Saya yakin dia 'ok'.

"Cukuplah berpolitik, rehatlah. Kembali sebagai seorang yang kuat (dan) mari berkumpul dengan keluarga pada Hari Raya nanti," katanya.

Beliau ditemui selepas hadir di Majlis Berbuka Puasa anjurannya di sebuah hotel di sini, hari ini.

Terdahulu, desas-desus kehilangan Musa itu semakin menjadi perhatian apabila beliau dilaporkan tidak berada di negeri ini sejak berlepas ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 14 Mei lalu untuk menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Musa kini berhadapan dengan kes yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan ugutan jenayah namun, tidak ada waran yang dikeluarkan berhubung ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau juga dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah.