Individu atau pihak yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tidak berperikemanusiaan terhadap seekor anak kucing yang dibakar diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.

Menurut Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika, pihaknya menerima maklumat yang tidak lengkap bahawa kejadian tersebut berlaku di Pahang namun siasatan dijalankan sama ada kejadian tersebut benar-benar berlaku di negara ini.

"Animal Malaysia merayu supaya bekalkan maklumat lengkap dengan laporan polis sehingga pelaku berjaya ditangkap, didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman maksimum atas kezaliman membunuh anak kucing tidak berdosa ini jika benar kejadian di negara ini dan pelaku berada di Malaysia.

"Justeru itu, Animal Malaysia menaikkan ganjaran daripada RM3,000 kepada RM10,000 untuk kepada sesiapa yang boleh mengesahkan kejadian anak kucing yang disyaki disimbah minyak petrol sebelum dibakar menggunakan pemetik api," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Beliau menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan melalui aplikasi WhatsApp di talian 011 20901097.

Terdahulu, Animal Malaysia dalam satu video muat naiknya berdurasi 45 saat memaparkan seekor anak kucing dalam keadaan basah kemungkinan disimbah minyak petrol.

Seorang individu yang juga perakam video kemudian menyalakan pemetik api sebelum bertindak membakar anak kucing malang itu.

Anak kucing itu kemudiannya berlari sebelum berhenti dalam keadaan lemah dan video tersebut tamat.