Bekas ahli Wanita UMNO, Anina Saadudin hari ini memfailkan saman terhadap Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana dipecat daripada parti itu berikutan tindakan mahkamahnya ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung derma RM2.6 bilion.

Memetik laporan Malay Mail Online, yang memetik pengesahan oleh peguam Anina, Mohamed Haniff Khatri Abdullah sebagai berkata, turut dinamakan dalam saman itu ialah Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abdul Rauf Yusoh.

"Saman ke atas Tengku Adnan kerana beliau menandatangani surat pemecatannya (Anina), manakala Abdul Rauf berhubung kenyataannya minggu lalu yang mendakwa, Anina dipecat dari UMNO secara automatik kerana melanggar peraturan parti yang menghalang ahli daripada membawa masalah dalaman ke mahkamah," katanya ketika dihubungi oleh Malay Mail Online.

Dalam writ yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Anina yang juga bekas pemimpin Wanita UMNO Langkawi memohon perintah mahkamah supaya dua surat pemecatan yang dikeluarkan Tengku Adnan ke atasnya diisytihar tidak sah dan tidak mempunyai kesan ke atas keahliannya.

"Saman itu bertujuan bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa pemecatan keahliannya (Anina) dalam UMNO oleh Tengku Adnan menerusi dua surat masing-masing bertarikh 1 dan 2 September sebagai tidak sah serta terbatal dan tidak menjejaskan keahliannya serta perintah mahkamah yang mengisytiharkan pemecatannya dari UMNO sebagai tidak sah," katanya.

Anina memfailkan writ samannya kira-kira 12.25 tengah hari tadi.

Sementara itu Anina dalam satu kenyataan tuntutannya, mendakwa Tengku Adnan telah mengeluarkan dua surat pemecatan keahliannya dalam UMNO iaitu surat pertama bertarikh 2 September dan dikeluarkan pada 1 September serta surat kedua bertarikh 1 September dan dikeluarkan pada 2 September.

Beliau mendakwa, pendedahkan kedua-dua surat berkenaan kepada media dan umum sebelum diserahkan secara peribadi kepadanya serta kandungan kedua-dua surat itu yang tidak jelas serta bertentangan, menjadikan surat-surat itu terbatal dan tidak sah.

"Pengeluaran kedua-dua surat itu juga bertentangan dengan Perkara 5, 8, 10(1)(a) dan 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sebelum ini, Anina, menjadi tumpuan umum berikutan penyebaran klip video berdurasi 2 minit 52 saat yang memaparkan kritikannya ke atas Najib yang didakwa menipu tiga juta ahli UMNO berhubung wang RM2.6 bilion yang dideposit ke akuan bank peribadi Perdana Menteri.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini menjelaskan, wang itu merupakan sumbangan dari penderma.

Pada 28 Ogos lalu, Anina memfailkan saman yang didakwanya bagi pihak UMNO ke atas Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Anina dipecat daripada UMNO selepas memfailkan saman terhadap Najib itu.

Beliau didakwa melanggar Perkara 20.7 Perlembagaan UMNO kerana membawa hal parti ke mahkamah.

Anina sebelum ini memberi Tengku Adnan tiga hari untuk menarik balik pemecatannya.

Tengku Adnan tidak memberi maklum balas sebelum tarikh itu luput.