Tiada lagi kelibat anjing liar berkeliaran di Taman Harmoni, Bandar Al Mukhtafi Billah Shah selepas kemunculan harimau kumbang di kawasan itu.

Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata selain anjing, kucing dan arnab milik penduduk turut menjadi habuan harimau kumbang berkenaan.

Menurut Ghazali, kemunculan haiwan itu sejak dua minggu lalu amat membimbangkan.

“Kita pandang serius dan doa sama-sama supaya boleh tangkap (haiwan berkenaan) dan dipindah ke kawasan lain,” katanya.

Ghazali berkata pihaknya bekerjasama erat dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan Terengganu) untuk menangkap haiwan terbabit.

Penduduk turut membantu usaha menangkap haiwan berkenaan dengan menyediakan umpan ayam dan arnab.

“Dia ada main tepi tu tapi tak masuk. Penduduk cerita, (haiwan itu) ada datang. Harimau tu datang tepi-tepi bermain tapi tak masuk,” katanya lagi.

Menurut Ghazali, selain memasang dua perangkap di kawasan strategik, Perhilitan turut menjalankan pemantauan berterusan.

Pihaknya juga mengarahkan penduduk tidak keluar rumah pada waktu malam dan menangguhkan kelas Al-Quran yang diadakan selepas waktu isyak di kawasan perumahan berkenaan.