Biarpun belum ada sebarang vaksin untuk merawat demam denggi namun beberapa saintis negara telah berjaya menemui anti virus bagi penyakit berkenaan.

Hasil penemuan mendapati anti virus yang diperbuat daripada ekstrak herba dari China, Huang Qin terbukti mampu mengurangkan kadar replikasi virus denggi sehingga lebih 70%.

Huang Qin atau nama saintifik Scutellaria Baicalensis sering digunakan dalam perubatan tradisional cina untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Penemuan itu dilakukan pakar denggi Prof Dr Sazaly Abu Bakar dan saintis-saintis lain di Universiti Malaya.

Herba itu dikatakan boleh menghasilkan molekul asas dipanggil Baicalein yang dapat mengurangkan replikasi virus denggi.

"Herba cina ini mengandungi kompaun Baicalein yang kita buktikan dia boleh turun kadar replikasi virus denggi ini. Kami telah memikirkan bagaimana cara bangunkan produk supaya boleh digunakan. Kami tidak bertujuan menggunakan untuk rawatan denggi kerana tiada bukti ia boleh merawat denggi tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan replikasi denggi ini." kata Prof Dr Sazaly.

Beliau juga berharap produk itu dapat dipasarkan sebagai makanan berfungsi dan boleh diambil seperti pil vitamin.

Flavonoid merupakan ekstrak daripada tumbuh-tumbuhan dipercayai mempunyai manfaat perubatan dan fungsi antioksidan.

Bagaimanapun sehingga kini masih tiada penawar untuk merawat demam denggi.

Sehingga vaksin berkesan ditemui, pelbagai langkah perlu diambil untuk mengelak daripada dijangkiti wabak denggi.