Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang Melayu membuka ruang dalam diri untuk memikirkan dan menerima dasar selain Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membangunkan ekonomi semua kaum.

Jelasnya, DEB bukan suatu dasar yang mampu mengatasi isu kemiskinan di kalangan rakyat.

"Bagi orang yang mendambakan bahawa dasar itu (DEB) harus kekal, dia akan tolong orang Melayu. Dia lupa bahawa DEB telah, dari sudut membasmi kemiskinan, kalau pun kita kata tidak gagal, tetapi tidak berhasil," katanya.

Presiden PKR itu berkata demikian ketika berucap pada Seminar Nasional Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) di sini malam tadi.

DEB, kata bekas menteri kewangan itu, hanya menampakkan kejayaan pada mobiliti sosial.

"Apa kejayaannya? Mobiliti sosial di universiti-universiti. UiTM misalnya, adalah universiti yang memberikan ruang kepada anak-anak dari kampung yang miskin. Itu sahaja yang berubah, dan saya akui.

"Tetapi, apakah perlu, mesti, terikat dengan DEB? Dari segi kesenjangan, lebih parah sekarang dari 1971," ujar Anwar.

Tambahnya, orang Melayu dan Bumiputera memerlukan dasar yang merangkumi semua kaum dalam usaha memberikan keadilan kepada setiap anggota masyarakat.

"Maka, naratif bermula dengan kemiskinan. Kemiskinan adalah melibatkan semua kaum. Namun, majoriti adalah Bumiputera. Tetapi orang India di ladang, dan orang Cina, itu pun tanggungjawab kita.

"Mana sikap istimewa kita, khaira ummat? Kita mesti istimewa dan lebih dari yang lain," katanya lagi.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mengulangi pendirian bersetuju dengan pendedahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini bahawa kadar kemiskinan yang digunakan negara selama ini adalah tidak realistik.

"Dalam soalan saya kepada Perdana Menteri di Parlimen, saya kata, bukan saja Philip Alston, Khazanah Research Institute juga sebut, sepatutnya 20 peratus (kadar kemiskinan).

"Profesor dari Universiti Malaya pun sebut lebih dari itu. Malah Prof Dr Jomo, UNICEF dan beberapa kajian lain sebut, kadar sebelum ini tidak relistik," katanya lagi.

Anwar merujuk kepada Pelapor Khas PBB Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia Prof Philip Alston dan pakar ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.

Dalam sesi soal jawab selepas itu, Anwar berkata, beliau tidak menolak DEB secara keseluruhannya, namun mahu orang Melayu dan Bumiputera menerima suatu dasar yang memanfaat semua lapisan masyarakat.

"Kita mahu dilihat sebagai pemerintahan yang adil," tambahnya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.