Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), esok.

Perkara ini telah disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui Astro AWANI di HRC.

“Kami difahamkan apabila Lembaga Pengampunan telah membuat syor pengampunan, proses pembebasan Anwar akan berlaku di sini (Hospital Rehabilitasi Cheras).

“Beliau (Anwar) tidak perlu pulang ke Penjara Sungai Buloh bagi proses pembebasan tersebut.

“Berkaitan soal pembebasan Anwar, semuanya berjalan dengan lancar. Lembaga Pengampunan itu akan bersidang di Istana Negara esok jam 11 pagi,” katanya ketika ditemui di Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini, pada Selasa.

Tambah Saifuddin, selepas selesai proses pembebasan, Anwar dijangka membuat ucapan dalam satu perhimpunan yang akan berlangsung, esok.

“Perhimpunan itu dijangka diadakan di Petaling Jaya, bermula petang hingga malam,” ujarnya.