Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mengemukakan butiran mengenai dakwaan penipuan berhubung bukti dalam sabitan ke atasnya dalam kes liwat.

Peguam kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili kerajaan berkata tindakan di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan memerlukan dakwaan penipuan mesti dibuktikan berdasarkan bukti dan ini merujuk kepada penipuan sebenar berlaku dan bukan penipuan bersifat konstruktif.

"Hakikat bahawa plaintif (Anwar) hanya akan memberi butiran lanjut dan lebih baik mengenai dakwaan penipuan melalui pendedahan mempunyai kecacatan dan fatal," kata beliau semasa berhujah dalam permohonan kerajaan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Anwar untuk dibebaskan daripada penjara kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Awang Armadajaya berhujah bahawa undang-undang menghendaki butiran mengenai penipuan mesti dikemukakan dengan tepat dan ia juga mesti menunjukkan bersama butiran lengkap tentang bagaimana, bila, di mana dan bagaimana penipuan dikatakan dilakukan.

"Oleh itu, dakwaan plaintif terhadap defendan (kerajaan) tidak boleh sama sekali dianggap mempunyai unsur-unsur utama berhubung tindakan di bawah Seksyen 44 akta ini," kata beliau.

Beliau juga berhujah bahawa saman yang difailkan oleh plaintif (Anwar) adalah remeh dan menyusahkan kerana gagal membekalkan butiran yang mencukupi dan bertentangan dengan keperluan di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan.

Awang Armadajaya berkata saman yang dikemukakan oleh Anwar harus dibatalkan kerana plaintif tidak menamakan pihak yang betul dalam samannya.

Beliau seterusnya berkata plaintif sepatutnya menamakan Peguam Negara (AG), yang juga pendakwa raya dan pegawai lain yang dikatakan menjalankan perbicaraan yang dicemari penipuan untuk membuktikan sebab-sebab bagi tindakan di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan.

"Penegasan dalam kenyataan tuntutan terhadap kerajaan juga pada dasarnya telah mengesahkan peranan Peguam Negara sebagai pendakwa raya yang bebas dengan peranan Peguam Negara sebagai Penasihat Undang-undang kepada kerajaan," kata beliau.

Anwar memfailkan saman itu pada 17 April, 2017 dalam satu lagi percubaan untuk dibebaskan dari penjara. Dia menamakan kerajaan sebagai defendan tunggal.

Anwar, antara lain, memohon perintah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan, bertarikh 7 Mac, 2014, dan keputusan Mahkamah Persekutuan, bertarikh 10 Feb, 2015, berdasarkan keterangan palsu oleh Mohd Saiful.

Anwar pada mulanya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jan, 2012, tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun. Pada 10 Feb, 2015, Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara.

Dalam kenyataan tuntutan, Anwar mendakwa bahawa Mohd Saiful telah membuat sumpah bohong, yang diketahui oleh defendan (kerajaan) adalah palsu, namun defendan bergantung kepada sumpah palsu dan memanfaatkan sumpah bohong itu untuk kelebihannya.

Beliau mendakwa bahawa kerajaan tahu bahawa perbuatan liwat yang dikatakan dilakukannya direka oleh Mohd Saiful.

Anwar berkata disebabkan penipuan itu, penghakiman Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan adalah tidak sah dan harus diketepikan seperti diperuntukkan mengikut Seksyen Akta Keterangan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh kerana meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan 12 Mac untuk membuat keputusan berhubung permohonan kerajaan untuk membatalkan saman tersebut.

-- BERNAMA