Pengiraan tempoh hukuman, remitan dan tarikh pembebasan banduan termasuk Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat berdasarkan Akta Penjara 1995 serta Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Kementerian Dalam Negeri menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat berkata sekiranya pembebasan banduan jatuh pada hari kelepasan mingguan atau hari kelepasan am, banduan itu termasuk Anwar hendaklah dibebaskan pada hari sebelumnya.

"Bagi pengiraan hukuman dan remitan seperti mana ketetapan Akta Serta Peraturan Penjara, pembebasan Anwar adalah pada 10 Jun 2018 (Ahad) maka, Anwar boleh dibebaskan pada 8 Jun 2018 iaitu pada hari Jumaat," memetik jawapan bertulis tersebut.

Menerusi soalan yang dikemukakan Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar) mengemukakan soalan pengesahan tarikh pembebasan Anwar.

Kementerian itu dalam kenyataan menambah, tarikh pembebasan seseorang banduan boleh berubah jika banduan melakukan kesalahan tatatertib yang ditetapkan Jabatan Penjara.

Menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat itu juga, kementerian berkata ia juga boleh menyebabkan tindakan lucut hak remitan di bawah Peraturan-peraturan Penjara 2000.