Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memenuhi jemputan ke beberapa negara, termasuk Turki, bermula hari ini bagi berkongsi kisah kejayaan Malaysia mengubah kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Pada pilihan raya itu, Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama lebih 60 tahun, sekali gus merampas tampuk pimpinan Kerajaan Persekutuan.

PKR ialah komponen dalam Pakatan Harapan bersama-sama DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Semasa ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Anwar berkata, ramai pemimpin dunia bertanya kepadanya bagaimana rakyat Malaysia berjaya mengundi untuk perubahan itu.

Ini kerana katanya, perubahan politik di Malaysia, khususnya menerusi kuasa rakyat, telah mengejutkan dunia.

"Mereka kagum dengan Malaysia dan rakyatnya dan mahu mengetahui bagaimana kita melakukannya.

"Malah, saya sendiri baru pulang dari London selepas dijemput bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al Gore.

"Saya akan pergi ke Turki pada Isnin untuk bertemu dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang juga rakan saya dan kemudian akan memenuhi undangan beberapa negara Asia serta Arab," katanya.

Hadir sama di majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, Anwar turut mengulangi sokongannya kepada kerajaan hari ini yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ramai rakan memintanya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) bagi membolehkannya kembali aktif dalam arena politik negara.

"Saya beritahu mereka, apabila sampai waktunya, saya akan berbuat demikian. Buat masa ini, saya tiada hasrat bertanding mana-mana kerusi. Saya akan kekal sebagai individu bebas. Selepas Dr Mahathir berasakan dia sudah melakukan yang terbaik untuk negara dan sedia melepaskan kuasa, saya akan masuk. Ketika itu nanti, lokasi pertama saya akan buat kenduri sudah pastilah Permatang Pauh," katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada hadirin atas sokongan mereka kepada Dr Wan Azizah, Nurul Izzah dan dirinya.