“Saya ada tengok cermin pagi tadi.”

Itu respon Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung syornya meminta beliau melepaskan jawatan sekiranya video intim itu sah dirinya.

Menurut Anwar, timbalannya itu, tidak membaca keseluruhan konteks yang dimaksudkannya berhubung kenyataannya di Parlimen pada Rabu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, beliau memilih untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, sebaliknya menyelesaikan ketegangan itu secara berhemah.

“Saya ada tengok cermin pagi tadi. Tapi saya fikir tidak adil kerana Mohamed Azmin tidak membaca keseluruhan kenyataan saya, itu bukan isu sebenarnya.

“Saya rasa kenyataan (tentang letak jawatan) saya telah dimanipulasi. Bagaimanapun, saya tak rasa kecewa dengan kenyataan Mohamed Azmin... tapi saya fikir dia perlu baca berita penuh berkenaan kenyataan tersebut,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.


Semalam, Mohamed Azmin membidas Anwar selepas diarahkan untuk melepaskan jawatan, selain meminta Anwar supaya muhasabah diri sendiri .

"Baca gerak bibir saya, beritahu dia (Anwar) dia perlu melihat lelaki di dalam cermin.

“Muhasabah. Suruh Anwar muhasabah. Tolong refleks muka sendiri dalam cermin,” kata Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

BACA: Video intim: Azmin minta Anwar muhasabah, cermin diri sendiri