Kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah ke Majlis Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Taman Medan dan Parlimen Petaling Jaya malam ini terpaksa dibatalkan ekoran suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa dikejarkan ke hospital akibat sakit di bahagian bahu dan tulang belakang.

Ketika majlis anjuran ADUN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri, dan ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah itu berlangsung, pengacara majlis membuat pengumuman bahawa Presiden PKR itu tidak dapat hadir ekoran masalah tulang belakang suaminya agak serius.

Difahamkan Anwar baru sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur lewat petang ini, selepas mengadakan lawatan ke beberapa negara termasuk Turki, bagi berkongsi kisah kejayaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum baru-baru ini, seterusnya membentuk kerajaan persekutuan.



Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, dalam satu kenyataan akhbar lewat malam ini berkata, Anwar telah dibawa ke wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk pemeriksaan lanjut.

“Beliau dibawa ke PPUM kerana mengadu kesakitan di bahu serta bahagian belakang selepas pulang dari Turki. Walau bagaimanapun, keadaan kesihatan beliau stabil,” kata Fahmi.