Kerjasama antara PAS dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat akan diteruskan biarpun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan dimasukkan ke dalam penjara, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata, jika Anwar sekali lagi terpaksa dipenjarakan akibat kes liwat yang dihadapinya, hubungan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat akan menjadi lebih kukuh.

"Anwar tidak ada ada, Kak Wan ada, Azmin ada. Itu pimpinan mereka. Presiden, timbalan. Kita bekerjasama dengan parti bukan dengan orang.

"Masa kita tubuhkan Barisan Alternatif dulu pun Anwar masih kat dalam lagi.

"Itu bukan sebab (PAS nak keluar Pakatan). Lagi kukuh Pakatan Rakyat sebab kita bertanggungjawab meneruskan (Pakatan)," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Mustafa berkata demikian bagi ketika ditanya sama ada PAS akan keluar daripada Pakatan Rakyat sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari depan memutuskan Anwar dipenjarakan.

Mengulas mengenai pergeseran di antara PAS dan DAP, Mustafa berkata parti Islam itu belum sampai ke tahap mengambil keputusan meninggalkan Pakatan Rakyat.

“Tak berbangkit isu itu. Jangan cepat sangat.

“Niat tiada siapa tahu, di dalam hati,” katanya sambil tertawa.

Ketika diminat mengulas kenyataan Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon yang mendakwa PAS dan UMNO mungkin akan membentuk kerajaan perpaduan sekiranya Anwar ke penjara, Mustafa berkata,“Saya tak pernah berhubung dengan MCA. Tak tahu dia kata apa. Dia pun tak pernah tanya saya."

Semalam, Chong mendakwa jika Anwar dipenjarakan, Pakatan Rakyat akan kehilangan orang penting yang boleh menyatukan parti dalam gabungan tersebut.