Tutup

Apa benar tentera kita hanya makan dan tidur?

Apa benar tentera kita hanya makan dan tidur?
Sebagai warganegara, bersyukur dan berterima kasihlah kepada Angkatan Tentera Malaysia yang telah berusaha meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara paling aman di dunia. - Gambar hiasan
MALAYSIA akan menjangkau usia 62 tahun 31 Ogos tahun ini.

Di sebalik enam dekad negara kita terbentuk, seorang ahli perniagaan Koon Yew Yin baru-baru ini membuat kenyataan tidak bertanggungjawab dalam ruang siber bahawa angkatan tentera kita hanya makan dan tidur serta patut dikerahkan untuk kerja di ladang-ladang menggantikan pekerja-pekerja migran Indonesia dan Bangladesh.

Akibat daripada kecaman netizen dan sedar akan kesalahannya, kenyataannya itu telah dipadam daripada blognya di ruang siber.

Kenyataan ini adalah satu kenyataan yang menghina bukan sahaja angkatan tentera Malaysia tetapi juga mencemar Rukun Negara yang Kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’.
Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan Malaysia ada menyebut bahawa Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan Malaysia adalah Yang DiPertuan Agong (YDPA).

Kenyataan yang dibuat oleh Koon Yew Yin ini juga menghina YDPA sebagai Pemerintah Tertinggi Tentera yang dikatakan ‘hanya makan dan tidur’ dan tidak berfungsi selayaknya dengan wang cukai yang dibayar beliau.
Perlu diingat bahawa pembayaran wang cukai adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia, bukan Koon Yew Yin sahaja.

Siapa sahaja yang mahu menjadi warganegara yang setia kepada negara harus membayar cukai demi pembangunan negara.

Sejak daripada zaman kerajaan Melayu Lama Langkasuka, Srivijaya dan kemudiannya Kesultanan Melaka, orang-orang Melayu telah berusaha mempertahankan tanah air daripada dijajah bangsa-bangsa lain.

Srivijaya sebagai contoh telah muncul sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan yang hebat di Asia Tenggara pada kurun ke-9 masihi.

Kesultanan Melaka juga menjadi kuasa hebat lahir daripada pemerintahan yang adil dan saksama didukung oleh sistem pertahanan ketenteraan yang mantap.

Ketika Kesultanan Kedah diserang oleh Siam pada kurun ke-18 masihi, orang-orang Melayu yang mempertahankannya daripada dijajah dan Kedah kekal sebagai bumi berdaulat dalam Malaysia sehingga hari ini.

Sewaktu Jepun melanggar Tanah Melayu pada tahun 1941 dan 1942, Leftenan Adnan Saidi daripada Regimen Melayu DiRaja berjuang menentang musuh sehingga titisan darah dan peluru yang terakhir.

Selepas Tanah Melayu meraih kemerdekaan pada tahun 1957 dan membentuk Malaysia pada tahun 1963, negara kita menjalin hubungan yang baik dengan banyak negara di dunia dan seringkali menggunakan cara diplomasi dalam menangani masalah antarabangsa dengan negara-negara lain.

Walaupun Malaysia tidak berada dalam keadaan perang, pihak Angkatan Tentera Malaysia terus bersiap-siaga menjalankan tugas tanpa henti mengawal sempadan negara serta memastikan negara dalam keadaan selamat serta sesuai didiami seluruh rakyatnya.

Dengan keamanan dan kestabilan yang mantap, Malaysia membangun dengan pesat dan cemerlang.

Ini dibuktikan menerusi indeks pembangunan sumber manusia (HDI) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menempatkan Malaysia di tangga 57 antara 189 negara pada tahun 2017 – antara yang tertinggi di dunia.

Maka tidak hairanlah lima universiti Malaysia pada tahun 2018 adalah ‘top 300’ di dunia, seperti dilaporkan oleh New Straits Times pada 8 Jun 2017.

Walaupun ada pihak yang melaporkan Malaysia sebagai negara yang rapuh dan dikatakan tidak selamat, Malaysia ditempatkan di tangga ke 16 daripada 163 negara oleh Indeks Keamanan Global pada tahun 2019 mengatasi negara-negara hebat yang lain seperti United Kingdom, Sweden, Perancis, Norway dan Belgium – menunjukkan Malaysia adalah antara negara yang paling aman seantero dunia.

Apabila negara-negara lain di rantau ini dan di luar Asia Tenggara terpaksa menghadapi masalah perkauman yang menjurus ke arah ketidaktenteraman, masyarakat Malaysia mampu untuk hidup dengan harmoni di antara satu sama lain didukung oleh keselamatan dan pertahanan yang jitu yang tidak mungkin terjadi sekiranya Angkatan Tentera Malaysia hanya makan dan tidur sahaja.

Sebagai seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin perlu sedar bahawa kekayaan yang dikumpulnya di Malaysia ini adalah hasil daripada kestabilan politik dan ekonomi yang disokong oleh sistem pertahanan ketenteraan yang jitu.

Sekiranya negara kita lemah, bagaimana mungkin ahli perniagaan seperti Koon Yew Yin dan lain-lain boleh mengumpul kekayaan di negara ini?

Seharusnya, Koon Yew Yin berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia yang telah menyediakan negara yang selamat didiami oleh dirinya dan keluarga, malah, menurut Indeks Keamanan Global 2019, jauh lebih selamat daripada negara leluhurnya sendiri iaitu China yang berada di tangga 110.
Hong Kong yang dianggap kota dunia yang hebat juga berada dalam huru-hara pada waktu ini.

Angkatan Tentera Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, tapi yang nyata majoritinya terdiri daripada kaum Bumiputera.

Janganlah kita menjadi rakyat yang menghina dan memperlekehkan angkatan tentera kita sendiri.

Sempena Hari Kemerdekaan yang akan menjelang kurang dari tiga minggu, marilah kita menjadi warganegara yang bersyukur dengan apa yang ada dan berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia yang telah berusaha meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara paling aman di dunia.



* Leftenan Komander (Kehormat) Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia yang juga ahli pasukan simpanan sukarela, Tentera Laut DiRaja Malaysia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.


Tag: Kolumnis AWANI, benarkah tentera kita hanya makan dan tidur, Koon Yew Yin, Angkatan Tentera Malaysia, MalaysiaKU



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.