Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir bahawa beliau sanggup bersumpah tidak terlibat dalam kes pemecatan bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abas boleh disifatkan sebagai retorik politik semata-mata, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Tambahnya lagi, rentetan daripada kenyataan bekas perdana menteri itu, kesediaan pembangkang untuk terus bekerjasama dengan Dr Mahathir menimbulkan persoalan sama ada ia adalah lakonan untuk terus memperdayakan rakyat atau sememangnya mereka tidak mempunyai prinsip.

“Pada tahun 1989, saya juga masih ingat bahawa, Lim Kit Siang sendiri menggesa supaya Ahli-Ahli Parlimen membentuk Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat pemecatan Bekas Ketua Hakim Negara itu.

“Saya tertanya-tanya bagaimana pembangkang yang selama ini menyatakan bahawa mereka adalah mangsa pemerintahan kuku besi Tun Mahathir, dapat duduk semeja malah melantik beliau sebagai Ketua mereka. Adakah semua ini lakonan untuk terus memperdayakan rakyat atau pembangkang memang tidak berprinsip?” kata Azalina dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dr Mahathir hari ini berkata beliau sanggup menjunjung Al-Quran untuk membuktikan bukan dirinya dalang sebenar di sebalik pemecatan Salleh pada tahun 1988.

Katanya lagi, pemecatan Salleh, yang merupakan salah satu daripada episod 'Krisis Perlembagaan Malaysia 1988', dilakukan melalui tribunal yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Hamid Omar serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong waktu itu.

Rentetan itu, Azalina turut mempersoalkan mengapa bekas perdana menteri itu mengambil masa begitu lama untuk membersihkan nama beliau daripada terus terpalit dengan isu berkenaan.

“Kenapa beliau mengambil masa begitu lama untuk membersihkan namanya? Kes itu telah berlaku 30 tahun dahulu. Adakah beliau juga akan bersumpah yang beliau tidak terlibat dalam Operasi Lalang 1987 dan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga menyebabkan hampir 100 ahli politik ditahan?” soal Azalina melalui kenyataan kepada media hari ini.

Kata Azalina lagi, pembangkang boleh berpura-pura melupakan apa yang pernah Dr Mahathir lakukan, tetapi yang pasti itu bukan realitinya, terutamanya kepada bekas-bekas hakim mahkamah persekutuan yang terlibat (digantung dan dipecat), serta ahli-ahli keluarga mangsa tahanan ISA sewaktu pemerintahan perdana menteri keempat itu.