“Kalau ada yang sudi belajar, saya sanggup ajar, tetapi tiada yang berminat,” kata Kuah Leong Chuan, 64 tahun.

Beliau satu-satunya pengukir batu nisan granit berketurunan Cina di Kuala Selangor, dan mungkin juga di Malaysia, yang masih hidup.

Beliau yang mesra disapa sebagai Uncle Kuah bermula dengan menyediakan batu nisan untuk pelbagai kaum, tetapi perkhidmatannya mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Melayu sejak 30 tahun lepas.

Malah Uncle Kuah yang berbangsa Tionghua itu turut mahir menulis jawi dan tahu apa perkataan yang sesuai untuk ditulis di atas batu nisan.

“Saya mula menulis jawi di atas batu nisan granit daripada pelanggan yang tahu tulisan jawi,” katanya lagi.

Beliau merupakan generasi kelima yang meneruskan warisan keluarga pengukir batu nisan granit.

Namun, beliau kini bimbang legasi pengukir akan terhenti selepas dia tiada.

“Saya ingat, di masa depan, apabila saya tiada, perniagaan ini akan ditutup begitu saja dan tinggal sejarah, kerana tiada siapa yang ingin meneruskan legasi ini,” katanya.

Ikuti kisah Uncle Kuah yang ditemui oleh Hakim Rahman dan Nailah Huda dalam segmen Poskod@Awani yang merupakan program sempena Tahun Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.