Lebih 10,000 kilogram ikan, merupakan antara "hasil rompakan" yang berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, susulan penahanan dua bot nelayan Vietnam di perairan negeri ini pada 10 Ogos lalu.

Pengarah APMM Wilayah Sarawak, Ismaili Bujang Pit berkata, turut ditahan 22 individu termasuk tekong dan awak-awak dua bot ini yang berusia antara 16 hingga 22 tahun.

"Kejayaan ini adalah hasil risikan dan maklumat komuniti maritim, yang disalurkan kepada Maritim Malaysia, berhubung kehadiran mereka yang menceroboh perairan Sarawak.

"Berbekalkan maklumat tersebut, sebuah kapal peronda KM Cekal diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan bot terbabit pada kedudukan 185 batu nautika dari Tanjung Po sekitar jam 8.45 pagi," katanya dalam sidang media di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahudin di Muara Tebas di sini, pagi tadi.

Katanya, ketika ditahan, nelayan kedua-dua bot ini sedang melaksanakan penangkapan ikan menggunakan pukat tunda ganding dan tidak menunjukkan sebarang reaksi agresif.

"Kesemua mereka kini ditahan bagi membolehkan siasatan dilaksanakan mengikut Akta Perikanan 1985.

"Sabit kesalahan, bot serta peralatan menangkap ikan boleh disita, dengan tekong bot berhadapan denda tidak melebihi RM1 juta.

"Manakala awak-awak berhadapan denda RM100,000 setiap seorang atau dihukum penjara," katanya lagi.

Tangkapan terbaharu ini menjadikan sebanyak 26 kes dicatatkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, berkait pencerobohan nelayan Vietnam, membabitkan 316 anak kapal.

Sepanjang tahun lalu, hanya 14 kes pencerobohan direkodkan dengan penglibatan 189 anak kapal.

Kes pencerobohan lain pula membabitkan sebuah bot nelayan Filipina dan seorang nelayan, serta sebuah bot nelayan Indonesia dengan 28 anak kapal.