Bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa memberitahu Mahkamah Tinggi pada Selasa terdapat empat isu yang dipersetujui untuk dikeluarkan daripada Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), satu daripadanya adalah dua versi bercanggah dalam laporan kewangan tahun 2014 syarikat itu.

Ali, 64, berkata bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang membangkitkan isu itu dalam mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1MDB, yang diadakan atas arahan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Feb 2016, bagaimanapun tiada minit mesyuarat yang direkodkan.

"Saya hanya menjadi orang tengah untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan Datuk Seri Najib, yang memerlukan rundingan dan persetujuan daripada 1MDB serta Jabatan Audit Negara.

"Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy hadir dalam mesyuarat itu dan beliau menyuarakan bantahan tentang beberapa perkara dalam laporan 1MDB. Saya meminta beliau memperjelaskan alasannya selepas beliau mengakui terdapat dua versi berbeza dalam laporan kewangan 1MDB bagi tahun 2014," kata saksi keempat pendakwaan itu semasa pemeriksaan utama oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Ali, yang kini pesara, berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan Najib dan Arul Kanda berhubung dakwaan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Ali seterusnya berkata Arul Kanda membantah perkara yang diketengahkan dalam laporan audit 1MDB oleh Jabatan Audit Negara, kerana perkara itu "bukanlah fakta dan semata-mata hanyalah dengar cakap", oleh itu beliau meminta supaya perkara seperti itu dikeluarkan daripada laporan berkenaan.

Beliau berkata Arul Kanda menegaskan bahawa versi bercanggah tidak boleh dimasukkan dalam Laporan Audit 1MDB dan meminta supaya siasatan polis diadakan.

"Mesyuarat turut membangkitkan tentang isu kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB berkaitan pelaburan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN).

"Ia dibangkitkan dalam Laporan Audit 1MDB kerana ketelitian Jabatan Audit Negara mendapati Jho Low tidak memegang sebarang jawatan atau melaksanakan sebarang peranan dalam 1MDB, oleh itu kehadirannya dilihat sebagai perlu diberi perhatian," katanya.

Seorang wakil daripada Pejabat Perdana Menteri, Tan Sri Muhammad Shukry Salleh kemudian meminta supaya isu itu dikeluarkan daripada Laporan Audit 1MDB, mengambil kira sensitiviti perkara itu dan untuk menghalangnya daripada dimanipulasi oleh parti pembangkang pada ketika itu, dan Ambrin bersetuju.

Ali berkata mesyuarat itu turut membincangkan isu berkaitan kelewatan dalam pengeluaran bon IMTN dengan jaminan kerajaan dan Muhammad Shukry mempersoalkan sama ada Najib berkewajipan untuk melaporkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

"Sebagai respons kepada perkara ini, Arul Kanda berkata beliau berpendapat bahawa isu berkaitan pengeluaran IMTN adalah keputusan perniagaan.

"Seorang wakil daripada Jabatan Peguam Negara, Datuk Dzulkifli Ahmad, juga mempunyai pendapat yang sama (seperti Arul Kanda) dan Ambrin kemudian bersetuju supaya isu itu dikeluarkan daripada laporan audit," kata Ali, dan menambah, isu terakhir yang dikeluarkan adalah berkaitan perjanjian antara Country Groups Securities Thailand dan ACME Time Limited.

Hari kedua mesyuarat pada 25 Feb 2016, Ali berkata Arul Kanda memberitahunya bahawa beliau (Arul Kanda) telah menyerahkan tiga dokumen tambahan untuk dimasukkan ke dalam Laporan Audit 1MDB yang sebelum ini dikehendaki oleh Jabatan Audit Negara.

Sepanjang tempoh mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1MDB, Ali memberitahu mahkamah Arul Kanda mengadu kepada beliau bahawa sukar untuk berurusan dengan pasukan audit.

"Saya memberitahunya bahawa kedua-dua pihak; 1MDB dan Jabatan Audit Negara, masing-masing menghadapi kesukaran dalam mendapatkan dokumen semasa menjalankan audit.

"Seterusnya pada 3 Mac 2018, saya dapati dokumen laporan audit masih 'embargo' jadi saya arahkan setiausaha sulit kanan saya supaya menyimpan dokumen itu di tempat yang selamat," katanya.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa, atas kedudukannya sebagai pegawai awam iaitu perdana menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada Rabu.

-- BERNAMA