"Arwah merupakan anak sulung saya.. dia harapan saya tetapi saya reda dan akur dengan kehendak tuhan."

Demikian luahan hati seorang bapa, Muhamad Afif Abdul Razak, 32 tahun, ayah kepada mangsa banjir pertama di Pahang Muhammad Farish Aqeel, 7 tahun, yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam parit di Kampung Padang Jaya, Jalan Sungai Lembing Kuantan, kira-kira jam 6 petang Rabu.

Mohd Afif yang merupakan Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, berita anaknya lemas dimaklumkan jiran yang melihat dua anaknya terjatuh ke dalam sawah padi yang ditenggelami air kira-kira lapan meter.

Jelas beliau, anak bongsunya, Muhammad Firas Adam, 5 tahun, berjaya diselamatkan oleh seorang jiran dan kini berada di zon kuning Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, bagi pemeriksaan doktor memandangkan anaknya itu menghidap asma.

Tambah beliau, dia tidak tahu mengapa anaknya bermain di kawasan sawah padi yang terletak berhampiran dengan rumahnya kerana dia jarang bermain di kawasan itu ini.

"Baju tidak habis pakai, alat tulis ada tidak buka lagi arwah bersemangat hendak ke sekolah... macam macam dia nak tetapi tuhan bagi saya dua hari jaga dia di sekolah.

"Saya sedih balik rumah tengok barang barang dia dah susun setempat untuk dia pakai. Bajunya pun tak sampai lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Rabu.

Tambah Mohd Afif, pemergian arwah amat berat untuk diterima terutama isterinya Intan Fazwani Che Zainol, 33 tahun, yang sedang mengandung tiga bulan.

Beliau menambah jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Sagu 1 di sini, sama ada malam ini atau pagi esok.

Dalam pada itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah mencemar duli memberikan sokongan kepada keluarga mangsa dan tiba kira-kira jam 8.15 malam di perkarangan Unit Forensik HTAA.

Baginda bertitah, ibu bapa perlu mengawasi anak mereka supaya tidak bermain di kawasan kolam, sungai atau longkang terutamanya ketika musim tengkujuh.

"Ini adalah satu berita yang amat menyedihkan saya harap dan saya berdoa ini menjadi satu peringatan kepada kita semua," katanya.