PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa laluan di antara Senawang dan Pedas Linggi di Lebuhraya Utara-Selatan yang ditutup sementara berikutan tumpahan asid telah dibuka semula secara berperingkat kepada semua kenderaan mulai jam 1:10 tengahari ini.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang menghala ke Utara dan Selatan kini boleh menggunakan laluan terbabit seperti biasa.

Pada masa yang sama, PLUS menasihatkan pengguna supaya mengikuti perkembangan trafik terkini melalui Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS Mobile atau aplikasi Waze atau Google Map.


Terdahulu dilaporkan, jalan ditutup ekoran sebuah lori yang membawa kandungan asid terbalik di kilometer 251.6 Lebuh Raya PLUS sekitar jam 3 pagi.

Susulan itu, laluan ke Melaka bermula dari Seremban sehingga ke Plaza Tol Senawang ditutup arah ke Melaka bagi kerja-kerja pembersihan oleh pasukan HAZMAT.

Pemandu lori berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia akibat terhidu gas beracun akibat asid yang tumpah.

Kemalangan berlaku dikatakan kerana pemandu lori cuba mengelak sebuah kereta.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat.