Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM5,000 untuk menukar pertuduhan berkaitan kes dadah, dua tahun lalu.

Pengakuan Hasbullah Ali Alias, 43, yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, direkodkan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Tertuduh, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang didakwa menerima suapan itu daripada seorang lelaki pada jam 12.37 tengah hari, 7 Mei 2018 di sebuah kopitiam di Jalan Beserah, di sini.

Suapan wang tunai itu didakwa sebagai balasan untuk tertuduh menukar pertuduhan kesalahan dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dihadapi oleh rakan mangsa kepada seksyen yang memperuntukkan hukuman lebih rendah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, yang mengendalikan kes, menawarkan jaminan berjumlah RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam bela Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili Hasbullah Ali, memohon pengurangan atas alasan anak guamnya masih lagi berkhidmat di tempat sama dan telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM sepanjang siasatan.

"Tertuduh tidak pernah gagal melaporkan diri di pejabat SPRM sejak tahun 2018. Untuk hari ini, tertuduh hanya membawa RM5,000 sebagai wang jaminan dengan isterinya yang bekerja sebagai jururawat akan menjadi penjamin.

"Tertuduh juga mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah dan mereka sekeluarga bermastautin di Kuantan. Oleh itu, saya memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah," katanya.

Mohd Ghazali membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasport miliknya diserahkan ke mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Ogos ini. - BERNAMA