Astro AWANI dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Kepimpinan PRCA Malaysia pada majlis makan malam Anugerah PR Malaysia (MPRA) 2019 pada Jumaat.

Anugerah berprestij tersebut sebagai pengiktirafan atas usaha luar biasa Astro AWANI dalam mengubah lanskap televisyen di negara ini.

Presiden PRCA Malaysia, Andy See Teong Leng berkata ia sekaligus menunjukkan kecemerlangan Astro AWANI dalam mengambil pendekatan baharu, terbuka dan kritikal dalam membuat liputan berita dan isu semasa.

“Astro AWANI sudah pasti menunjukkan kepimpinannya dalam mengubah landskap penyiaran di Malaysia.

“Astro Awani telah menyuntikkan keterujaan baharu dalam bilik berita dan juga studio televisyen dengan memperjuangkan dialog dan perbincangan yang bermakna dalam isu sosio-ekonomi serta politik utama yang dihadapi oleh negara. Tahniah, Astro AWANI!” kata Andy.

Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron menerima anugerah tersebut daripada Presiden PRCA tersebut di Connexion Conference & Event Centre pada Jumaat.


Kamarul berkata kemenangan tersebut adalah atas sokongan tidak berbelah bagi yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

“Anugerah ini adalah untuk setiap rakyat Malaysia di luar sana yang percaya bahawa negara ini merupakan tanah tumpahnya darah kita, di mana sikap kemanusian menewaskan ketamakan.

“Terima kasih kepada Kumpulan Astro kerana percaya kepada warga bilik berita yang terkecil di negara ini yang mempunyai semangat yang tidak berbelah bahagi.

“Terima kasih juga kepada warga Astro AWANI yang mempunyai dedikasi dan semangat yang tidak berbelah bagi kerana tanpa anda, Malaysia Baharu tidak seindah seperti sekarang,” kata Kamarul dalam ucapannya selepas menerima anugerah tersebut.

KAMARUL: Anugerah ini adalah untuk setiap rakyat Malaysia di luar sana yang percaya bahawa negara ini merupakan tanah tumpahnya darah kita, di mana sikap kemanusian menewaskan ketamakan. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG

Sementara itu, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) turut memenangi Anugerah Khas Komuniti PRCA Malaysia atas usahanya untuk memperjuangkan hak sama rata antara jantina dan keganasan terhadap wanita.

Majlis makan malam Anugerah MPRA 2019 diadakan buat kali ke-12 dan menyaksikan penyertaan paling tinggi daripada syarikat pelbagai sektor iaitu sebanyak 69 penyertaan dalam 14 kategori.